BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 Mei. – Bengkel Pendidikan Inklusif yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakaran, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Inklusiviti dan Komuniti Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia, berakhir pagi tadi dengan majlis penyampaian sijil.
Penyampaian Sijil disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Profesor Madya Dr. Muhammad Zahiri bin Awang Mat.
Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi menyertai bengkel selama dua hari itu yang meliputi lima sesi iaitu, Falsafah Pendidikan Islam & Pendidikan Inklusif: Membina Guru Rahmah dalam Bilik Darjah Pelbagai Keupayaan; Reka Bentuk Pengajaran Inklusif Berasaskan UDL dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam; Kemahiran Sosial, Regulasi Emosi & Adab Islami bagi Pelajar OKU High-Functioning; Pentaksiran Inklusif & Sokongan Akademik Murid OKU dalam Pendidikan Islam; dan Transisi Pendidikan – Dari Sekolah ke Pengajian Tinggi & Kehidupan Berdikari dalam Perspektif Pendidikan Islam.

SERAMAI 50 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi menyertai bengkel selama dua hari yang meliputi lima sesi.
Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini diharap dapat menjadi wadah yang berkesan dalam memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme khasnya guru Pendidikan Khas.
Melalui perkongsian pengalaman, latihan praktikal dan kolaborasi yang terancang, peserta bukan sahaja memperoleh manfaat akademik, malah dapat membina sikap empati, kefahaman mendalam dan kesedaran terhadap kepentingan Pendidikan Inklusif.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 23 Mei 2026. Oleh : Khartini Hamir Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)
