Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB DILANTIK AHLI MAJLIS TERTINGGI APUCEN

CHONGQING, CHINA, Jumaat, 20 Disember. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB)terpilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi dalam Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) bagi Pelaksanaan Rancangan Strategik APUCEN 2025-2027.

Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Sidang Kemuncak Ke-5 APUCEN yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Disember 2024 di Chongqing, China.

Hadir mengetuai Delegasi KUPU SB ke Sidang Kemuncak berkenaan, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Sidang Kemuncak APUCEN dianjurkan setiap tiga tahun dan sidang tahun ini diselenggarakan oleh Chongqing Perham Education yang merangkumi Mesyuarat Tertinggi APUCEN sebagai agenda utama di samping Pembentangan Kertas Ucaptama serta Pembentangan Kongsi Sama Program dan Kegiatan Libat Sama Komuniti yang dilaksanakan oleh Ahli-ahli Universiti APUCEN antara tahun 2022 hingga 2024.

Menurut Penolong Pensyarah selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB - APUCEN, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed, penyertaan KUPU SB dalam Sidang Kemuncak berkenaan merupakan satu peluang yang sangat berharga bagi KUPU SB untuk memperluas jaringan profesional dan membuka peluang kolaborasi, pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara universiti serantau dan antarabangsa agar dapat membantu meningkatkan kualiti perancangan dalam melaksanakan Program Libat Sama Komuniti.

Penyertaan dalam Sidang Kemuncak berkenaan iaitu melalui sesi-sesi pembentangan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, KUPU SB mengenal pasti pendekatan-pendekatan baharu dalam mengungkayahkan projek atau  Program Libat Sama Komuniti yang boleh diadaptasi di KUPU SB.

Akhirnya menurut beliau lagi, penyertaan dalam Sidang Kemuncak ini sekali gus memperkenalkan lagi KUPU SB sebagai sebuah Kolej Universiti Perguruan Ugama di arena serantau dan antarabangsa, selaras dengan objektifnya. KUPU SB turut mengambil bahagian dalam Sesi Pembentangan Kongsi Sama  Kegiatan dengan melaporkan beberapa program dan inisiatif yang telah dilaksanakan.

APUCEN1.png

RA'ES KUPU SB semasa mengetuai delegasi pada Mesyuarat Tertinggi Sidang Kemuncak Ke-5 APUCEN yang berlangsung di Chongqing, China (atas dan bawah).​

APUCEN2.png

Pembentangan pertama yang bertajuk 'Building Bridges : Community Engagement Initiatives by the Fundamental Knowledge Centre at  KUPU SB' disampaikan oleh Penolong Pensyarah dan Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dayang Norhazimah Nadzirah binti  Haji Misli yang berfokus kepada Program Libat Sama Komuniti dan khidmat masyarakat yang dilaksanakan dalam kokurikulum KUPU SB.

Pembentangan kedua bertajuk 'Holistic Approaches to Enhancing Mental Well-Being among Students in Brunei Darussalam' dibentangkan oleh Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

Pembentangan ini menekankan pelaksanaan program kerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan pemegang taruh lain bagi mempromosikan maklumat dan pengetahuan mengenai kesihatan mental.

APUCEN merupakan rangkaian serantau institusi akademik pengajian tinggi berkenaan dengan galakan budaya penglibatan universiti-komuniti dengan cara yang proaktif, inklusif, holistik.

Antara Objektif Sidang Kemuncak berkenaan adalah untuk mengemaskinikan Laporan Kegiatan-kegiatan Libat Sama Komuniti yang telah dilaksanakan oleh ahli-ahli universiti bagi memastikan matlamat dan arah tuju APUCEN turut tercapai. Ia juga membincangkan dan memberikan cadangan penambahbaikan bagi para ahli universiti dalam mencapai misi mereka untuk membangunkan dan mengaplikasikan pengetahuan khususnya dalam masyarakat dalam bentuk pemikiran dan menawarkan  penyelesaian kepada masalah-masalah dalam masyarakat melalui Program Libat Sama.

Sidang Kemuncak ini juga secara tidak langsung memberi rangsangan khususnya bagi para ahli universiti untuk memulakan kegiatan libat  sama komuniti-universiti yang  lebih relevan berdasarkan perubahan semasa dalam perkembangan pengetahuan dan penyebaran ke atas  keperluan menangani masalah sosial, ekonomi, kebudayaan dan alam  sekitar bagi menggalakkan pembelajaran yang sesuai dan penglibatan akademik dalam pembangunan negara.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 21 Disember 2024. Siaran Akhbar dan Foto: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan​)


Attachments