Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS KONVOKESYEN KUPU SB RAIKAN 252 GRADUAN

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pagi tadi, berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada seramai 252 graduan bagi program Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama, Sarjana Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Lanjutan dan Diploma pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14.

MK14_a1.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14, Tahun 1446 Hijrah / 2024 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas (atas dan bawah).

MK14_a2.png

Terlebih dahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

MK14_b4.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menadah tangan ketika Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan (atas dan bawah).

MK14_b3.png

MK14_b5.png

PARA graduan dan ibu bapa serta ahli keluarga graduan menadah tangan ketika doa dibacakan (atas).

Turut menjunjung, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.

Perarakan Keberangkatan Canselor KUPU SB, didahului dengan pengusungan Mushaf Al-Quran yang dibawa masuk ke dalam dewan oleh Penulis Mushaf KUPU SB, Awang Mohd. Adi Yusnira bin Haji Johari.

Sejurus itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan beramai-ramai.

Majlis kemudian diteruskan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali 'Imran, ayat 190 hingga 194 beramai-ramai oleh para graduan Konvokesyen KUPU SB Ke-14.

Inti sari ayat dibacakan oleh Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf, manakala bacaan Hadis pula disampaikan oleh Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune yang mana kedua-duanya adalah Graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Akhlak dan Ta sawuf Ahli Sunnah Waljama'ah .

Seterusnya sembah alu-aluan oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir.

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada seramai 252 graduan mengikut bidang masing-masing iaitu dua graduan dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dalam bidang Pendidikan Islam; tiga graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama dalam bidang Pendidikan Islam; 31 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, manakala tujuh graduan pula dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pengajaran Bahasa Arab Bagi Penutur Bukan Arab).

MK14_c6.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada para penerima (atas kiri, atas kanan, bawah kiri dan bawah kanan).

MK14_d7.png 

MK14_d8.png

TERPANCAR keceriaan pada wajah para graduan setelah menerima ijazah masing-masing (bawah kanan dan bawah kiri)

Selain itu, tujuh graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) manakala 87 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor tertentu, iaitu Minor Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Akhlak dan Tasawuf Ahli Sunnah Waljama'ah, Aqidah Ahli Sunnah Waljama'ah, Bimbingan dan Kaunseling, Dakwah dan Kepimpinan, Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Keluarga Islam, Pendidikan Khas, Pendidikan Melayu Islam Beraja, Pendidikan Sains Kesihatan dan Minor Usul Fiqh.

Seterusnya, lima graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab); 88 graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam); dan 22 graduan menerima Diploma Pengajian dalam bidang-bidang pengkhususan iaitu Seni Al-Quran, Fiqh Usrah, Kemahiran Jawi dan Kaligrafi dan juga Kitab Turath.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.

MK14_e.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Sebagai satu-satunya kolej universiti yang menawarkan program-program latihan dalam bidang Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin yang bertakwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan marketable.

Dalam usaha untuk membangun generasi yang bukan sahaja siap siaga masa depan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga memiliki sikap dan nilai yang meneguhkan identiti kebruneian dengan pandangan global, KUPU SB akan terus komited dalam membangun dan menyediakan pendidikan berkualiti yang saksama dan inklusif di semua peringkat, termasuk akses kepada pembelajaran sepanjang hayat, berpandukan Ahli Sunnah Waljamaah dan Falsafah Melayu Islam Beraja.

MK14_f9.png

SEKITAR keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 (atas kiri, bawah kiri dan atas kanan). Manakala gambar bawah kanan, salah seorang graduan bergambar ramai bersama keluarganya.

MK14_f10.png


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 23 November 2024. Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Alishahrin Haji Mumin​)


Attachments