BANDAR SERI BEGAWAN,Selasa, 1 September. -Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mewakili badan tertinggi wakil pelajar di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang bertanggungjawab mewakili suara dan kepentingan mahasiswa dan mahasiswi kepada pihak pengurusan universiti.
Ia merupakan wadah yang penting kepada ekosistem pengajaran dan pembelajaran sesebuah institusi pengajian tinggi. Sifat kepemimpinan, keberanian berkongsi pendapat dan pengalaman berorganisasi adalah beberapa kualiti diri yang bakal diperoleh pelajar yang terbabit dengan MPP.
Sehubungan itu, Majlis Rasm iPembubaran Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026 dan Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2026/2027 telah diadakan baru-baru ini bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU- SB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Ra’es,KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

PEMANGKU Timbalan Ra’es, KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Rasmi Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026 dan Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2026/2027.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Kemuncak majlis, pengumuman Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2026/2027.
Kepimpinan MPPKUPU SB Sesi Baharu berkenaan akan diketuai oleh Yang Dipertua Pelajar, Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli.
Majlis berkenaan merupakan platform rasmi untuk menyerahkan Amanah kepimpinan kepada generasi pemimpin pelajar yang baharu. Ia diharapkan dapat menyuntik semangat yang jitu dalam memperjuangkan Kebajikan dan aspirasi mahasiswa dan mahasiswi.
Majlis juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan barisan mantan MPP dan seterusnya memperkenalkan barisan kepimpinan pelajar Baharu kepada warga kampus.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 2 Sept 2026. Siaran Akhbar dan Foto: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
