BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos.- Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa Kali Ke-3 (SAKAPES 3) melabuhkan tirainya dengan pembentangan Resolusi Seminar, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad. Turut hadir, pegawai-pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai Utama KUPUSB; pegawai dan kakitangan Kerajaan serta para pembentang dan peserta seminar.

Seminar berkenaan merupakan anjuran Pusat Pengkajian Kefahaman AhliSunnah Waljama’ah dengan Kerjasama Fakulti Usuluddin, KUPU SB. Pembentangan Resolusi Seminar telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus dan Pelapor SAKAPES 3, 2026, Awang Hilman bin Haji Salim.

PEMBENTANGAN Resolusi Seminar telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus dan Pelapor SAKAPES 3, 2026, Awang Hilman bin Haji Salim.

Sebanyak lapan resolusi telah dirumuskan berasaskan empat tema utama, iaitu Pengukuhan Kefahaman dan Penghayatan Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah; Pengukuhan Tazkiyah al-Nafs, Tasawuf, Akhlak dan Nilai Kerohanian; Transformasi Pendidikan, Tarbiah,Dakwah dan Pengukuhan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) serta Pengukuhan Penginstitusian dan Tadbir Urus Berteraskan Maqasid Syariah.

Melalui seminar tersebut, diharapkan agar resolusi yang dirumuskan menerusi keempat-empat tema berkenaan tidak terhenti sebagai wacana dan dapatan ilmiah semata-mata.

Sebaliknya, resolusi tersebut diharap dapat menjadi titik tolak kepada pelaksanaan Tindakan yang praktikal, strategik dan berterusan menerusi sinergi antara institusi pendidikan, agensi keagamaan, pembuat dasar, para ilmuwan, pendidik, pendakwah serta masyarakat.

Usaha bersepadu itu penting bagi memastikan perkembangan dan kemajuan kecerdasan buatan terus dipandu oleh Aqidah yang sahih, ilmu yang berautoriti, akhlak yang luhur serta Maqasid Syariah demi menjamin kemaslahatan agama, Masyarakat dan negara.

RA’ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Sepanjang seminar berlangsung, sebanyak satu kertas kerja utama dan 33 kertas kerja dalam sesi selari telah dibentangkan, selaras dengan tema seminar, ‘Integrasi Nilai Ahli Sunnah Waljama’ah di Era AI’.

Majlis Penutup Seminar diakhiri dengan penyerahan Resolusi Seminar kepada Ra’es KUPUSB, Dr. Awang Haji Arman, sekaligus menandakan berakhirnya penganjuran SAKAPES 3 bagi Tahun 2026.

 

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 29 Ogos 2026. Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah)