CEBU CITY, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 2 Julai.- Mesyuarat Ketua-ketua The Association of Southeast Asian Teacher Education Network (AsTEN) Ke-21 yang dikendalikan oleh Philippine Normal University (PNU) telah diadakan pada 1 Julai 2026, bertempat di Golden Prince Hotel and Suites, Cebu City, Republik Filipina.
Mewakili Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke mesyuarat berkenaan ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, selaku Timbalan Pengerusi AsTEN.
Turut hadir, Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr. Kharhan bin Haji Jait, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB AsTEN dan Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa.

RA’ES KUPU SB semasa hadir pada mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Ketua-ketua AsTEN Ke-21 kali ini antara lain membincangkan agenda-agenda yang berkaitan dengan perkembangan hala tuju strategik AsTEN; penglibatan anggota anggota AsTEN dalam Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Guru AsTEN (ASTEN); di samping inisiatif AsTEN yang selaras dengan hala tuju strategik jaringan melalui pelbagai platform institusi anggota AsTEN.
Agenda-agenda yang dibincangkan sudah setentunya bermatlamat untuk menangani pelbagai isu, cabaran dan kebimbangan yang berkaitan dengan dasar, amalan serta program pendidikan guru di rantau ini.
Mesyuarat juga mengesahkan Kasetsart University sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Ketua ketua AsTEN Ke-22, pada bulan November 2026 di Bangkok, Thailand, di mana akan diselajurkan dengan CU-KU International Symposium in Education 2026.
Pada sebelah malamnya pula, turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan AsTEN.
Diwakili oleh Timbalan Naib Canselor UBD, Profesor Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, penandatanganan tersebut menandakan penyertaan UBD sebagai Ahli Anggota AsTEN yang baharu, bersama empat buah universiti yang lain, Cebu Normal University; Leyte Normal University; West Visayas State University; dan Hanoi National University of Education.
AsTEN dianggotai oleh rangkaian institusi pendidikan guru di negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani isu dan cabaran yang berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru dalam ASEAN.
Ia secara tidak langsung berpotensi untuk memperkukuh pembangunan profesional guru dan memperkaya ekosistem pendidikan di Negara-negara ASEAN secara menyeluruh dan komprehensif.
Komitmen KUPU SB dalam AsTEN ini secara langsung berfungsi sebagai platform strategik untuk mentransformasikan pendidikan guru sekali gus melahirkan pendidik profesional yang reflektif dan berinovasi, yang boleh memberi manfaat kepada KUPU SB khasnya dan Negara Brunei Darussalam (NBD) amnya.
Ra’es KUPU SB merupakan Ahli Lembaga Pengarah dalam AsTEN, dan juga Timbalan Pengerusi AsTEN bagi tempoh 2024-2027 serta Ketua AsTEN bagi jaringan pendidikan guru Asia Tenggara yang mewakili NBD.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 04 Julai 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
