BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) petang tadi menerima kunjungan akademik daripada Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia.
Rombongan terdiri daripada lima orang pensyarah (dosen) bersama 45 orang mahasiswa dan mahasiswi serta alumni Program Studi Magister Teknologi Pendidikan yang diketuai oleh Direktur Sekolah Pascasarjana, Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia, Dr. Rufi’i, ST, S.Si., M.Pd.
Hadir bagi mengalu-alukan rombongan di Dewan Tarbiah, KUPU SB ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Kemuncak acara kunjungan berkenaan ialah penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUPU SB dan Universitas PGRI Adi Buana Surabaya, Republik Indonesia.

PENANDATANGANAN Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUPU SB dan Universitas PGRI Buana Surabaya, Republik Indonesia.
MoU yang dimeterai ini diharap akan mengukuhkan lagi kerjasama akademik antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ilmu.
Ia juga menjadi mekanisme yang ideal dalam berkongsi kepakaran, sumber dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
Dalam pada itu, kunjungan akademik dan penandatanganan MoU ini secara keseluruhannya menggambarkan aspirasi KUPU SB dalam mempertingkat jaringan kerjasama dengan komuniti, institusi dan pemegang taruh di peringkat serantau dan antarabangsa dalam membantu KUPU SB mencapai kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, konsultasi dan khidmat masyarakat.
Turut hadir bagi sama-sama menyaksikan majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai, kakitangan dan para pelajar KUPU SB.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 13 Jun 2026. Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami)
