KHON KAEN, THAILAND, Isnin, 25 Mei. – Satu sesi perjumpaan berasingan telah berlangsung baru-baru ini antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan pihak University of Business and Science (UBS), Uzbekistan bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi khasnya dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Hadir mewakili KUPU SB, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; manakala pihak UBS telah diwakili oleh Pengasas UBS, Islomjon Olimjanov.

Turut hadir pada sesi perbincangan berkenaan, Penasihat Hal Ehwal Antarabangsa, UBS, Profesor Madya Dr. Muzaffar Obilov.

Perbincangan antara kedua-dua belah pihak tertumpu kepada potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah yang berkaitan dengan akademik, mobiliti pelajar, pembangunan profesional serta perkongsian kepakaran dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua institusi turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan akademik dan meneroka peluang kolaborasi yang dapat memberi manfaat bersama kepada warga institusi masing-masing.

UBS, Uzbekistan merupakan antara ahli baharu yang menyertai Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU), sebuah konsortium yang menghimpunkan Institusi Pegajian Tinggi (IPT) di rantau Asia Pasifik bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan pembangunan pendidikan serantau.

Komitmen KUPU SB dalam membangun peluang kerjasama dengan UBS adalah selaras dengan usaha berterusan universiti dalam memperluaskan jaringan antarabangsa serta memperkukuh hubungan strategik dengan IPT di peringkat global.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Selasa 26 Mei 2026.Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)