KHON KAEN, THAILAND, Isnin, 25 Mei. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menghadiri The 12th International Conference on Education Reform 2026 (ICER2026) yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Mahasarakham University (MSU), Khon Kaen, Thailand dengan kerjasama Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU).
Hadir mewakili KUPU SB, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dan Timbalan Dekan (Pendidikan), Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Awang Ahmad Humaizi bin Haji Samihon.

Persidangan antarabangsa tersebut menghimpunkan para akademik, penyelidik dan pengamal pendidikan dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serantau dan antarabangsa bagi membincangkan isu-isu semasa, inovasi dan pembaharuan dalam bidang pendidikan.
Pada sebelah petang, delegasi KUPU SB yang diketuai oleh Ra’es KUPU SB telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pengarah Kali Ke-8 CAPEU. Mesyuarat telah dihadiri oleh 25 perwakilan universiti yang terdiri daripada Ahli-ahli CAPEU.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pembentangan laporan aktiviti dan pencapaian Ahli-ahli CAPEU bagi Sesi 2025 / 2026, membuat perancangan strategik di samping meneroka peluang-peluang kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi ahli.

Sejak penubuhannya pada tahun 2013, CAPEU telah berfungsi sebagai jejambat penghubung antara IPT di Asia-Pasifik dalam memperkasa agenda pendidikan di peringkat antarabangsa.
Melalui platform ini, CAPEU dapat berinteraksi secara aktif, berkongsi pengalaman dan kepakaran serta meneroka peluang kolaborasi yang memberi nilai tambah dalam pembangunan dan pengembangan bidang pendidikan.
(Petikan dari Pelita Brunei, Selasa 26 Mei 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
