BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Januari. – Lebih 20 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta dan juga peserta persendirian menyertai Program Pendidikan Syariah 3.0 (Puasa, Qadha dan Fidyah) yang dianjurkan bersama oleh Fakulti Syariah serta Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bertempat di kampus kolej universiti berkenaan.
Program berakhir petang tadi dengan Majlis Penyampaian Sijil yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Adibah Husna binti Haji Ismail.
Program sehari berkenaan merangkumi sesi kuliah dan Bengkel Pengiraan Fidyah yang dikendalikan oleh tenaga akademik KUPU SB, antara lain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman Masyarakat mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengan puasa, qada dan fidyah, lebih-lebih dengan ketibaan bulan Ramadan yang menjelang tiba.

PROGRAM Pendidikan Syariah 3.0 (Puasa, Qadha dan Fidyah) anjuran bersama oleh Fakulti Syariah serta Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diadakan di kampus kolej universiti berkenaan.
Dengan menghidupkan kembali keilmuan Islam melalui rujukan kitab Turath, ia juga bermatlamat untuk mengatasi kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan umat Islam ke arah pelaksanaan ibadah puasa yang sempurna.
Selain itu, ia sekali gus mewujudkan ruang interaktif untuk para peserta berkongsi pengalaman dalam dialog terbuka dan seterusnya mendalami isu-isu kontemporari yang menghambat dunia masa kini.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 26 Januari 2026. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
