PULAU PINANG, MALAYSIA, Khamis, 18 Disember. – Mesyuarat Majlis Serantau Asia Pacific University – Community Engagement Network (APUCEN) Ke-21 telah diadakan baru-baru ini, bersempena dengan Compassion Summit 2025, yang berlangsung pada 15 hingga 16 Disember 2025, di Pulau Pinang, Malaysia.

Mesyuarat dikendalikan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), selaku Sekretariat APUCEN.

Mewakili Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke mesyuarat dan persidangan berkenaan ialah Ra’es KUPU SB selaku Ahli Majlis APUCEN, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; serta Dekan Pelajar KUPU SB, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB-APUCEN, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed.

Mesyuarat Majlis Serantau APUCEN Ke-21 kali ini antara lain membincangkan agendaagenda yang berkaitan dengan perkembangan terkini serta aktiviti dan inisiatif yang sedang dijalankan oleh Ahli Majlis APUCEN, di samping merangka hala tuju APUCEN pada tahun 2026.

Ini termasuklah agenda yang menyentuh tentang penyertaan terkini ahli-ahli APUCEN.

Mesyuarat juga membincangkan persediaan Seminar Universiti Community Engagement Network (UCEC) Ke-8 yang akan diadakan pada tahun 2026 di Pulau Pinang bersempena 15 tahun penubuhan APUCEN.

RA’ES Kolej Universiti Perguruan Ugama�Seri Begawan (KUPU SB) selaku Ahli Majlis Serantau Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) serta Dekan Pelajar KUPU SB, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB-APUCEN hadir mewakili KUPU SB di Mesyuarat APUCEN (atas dan atas kanan).

Seiring dengan mesyuarat berkenaan, USM turut menganjurkan Compassion Summit 2025, yang bertemakan ‘Empower Communities, Create Impact, Sustain Future’.

Tema ini mencerminkan komitmen bersama APUCEN untuk memacu penglibatan komuniti berimpak tinggi melalui gerakan rentas sempadan yang berteraskan empati, kolaborasi dan inovasi.

Dengan menggerakkan kepakaran bersama serta tindakan kolektif, setiap ahli mampu memperkukuh daya tahan komuniti, membangunkan penyelesaian inklusif dan berskala, serta mengangkat inisiatif tempatan menjadi model berimpak serantau.

Melalui komitmen padu universiti di seluruh Asia-Pasifik, APUCEN memajukan penglibatan komuniti sebagai agenda transformasi serantau, mencetuskan keadilan sosial, ketahanan dan pembinaan negara yang mampan merentas sempadan.

Persidangan diserikan dengan Sesi Ucaptama, Dialog Plenari, Perkongsian daripada Ahli APUCEN mengenai perkembangan aktiviti dan inisiatif yang sedang dilaksanakan serta pelancaran rasmi Buku inisiatif COMPASSION.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 Disember 2025. Siaran Akhbar dan Foto: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)