REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 10 Disember. – Persidangan Antarabangsa mengenai Pendidikan Guru 2025 (ICOTE 2025) yang telah dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung, memberi tumpuan kepada pelbagai skop yang relevan dalam bidang pendidikan.
Antaranya ialah kesaksamaan dalam pendidikan guru, inovasi dalam pedagogi, mengintegrasikan AI dan teknologi pendidikan; kelestarian dalam pembangunan guru, serta penyelarasan dasar pendidikan guru.
Persidangan yang berlangsung pada 8 Disember 2025 di Grand Mercure Bandung Setiabudi itu diadakan seiring dengan Mesyuarat Ketua-ketua Persatuan Pendidikan Guru Asia Tenggara (AsTEN) Ke-20.
Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku Timbalan Pengerusi AsTEN, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, hadir pada Majlis Perasmian ICOTE 2025.

RA’ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan selaku Timbalan Pengerusi AsTEN, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, pada Majlis Perasmian ICOTE 2025 yang telah berlangsung di Grand Mercure Bandung Setiabudi, Kota Bandung, Republik Indonesia
Turut hadir, Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB, selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB-AsTEN, Dr. Kharhan bin Haji Jait; serta Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti KUPU SB, Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris.
Dua tenaga akademik KUPU SB turut menyertai ICOTE 2025 sebagai pembentang iaitu Penolong Kanan Profesor, Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Dr. Ahmad Yunus bin Kasim; serta Penolong Kanan Profesor, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr. Harapandi Dahri.
Bertemakan ‘Reimagining Teacher Education: Equity, Innovation, and Sustainability’, ICOTE 2025 dihadiri oleh ahli-ahli akademik serantau dan antarabangsa.
Penglibatan tenaga akademik KUPU SB khasnya dalam persidangan seumpamanya sudah pasti berupaya membawa mekanisme yang ideal kepada jaringan kerjasama penyelidikan, sekali gus menjadi platform yang ideal kepada perkongsian sumbangan akademik serta wacana ilmu yang berterusan.
Ia juga secara tidak langsung merintis budaya penulisan dan penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi keperluan masyarakat, negara dan ummah.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 13 Disember 2025. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
