TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE EMPAT BELAS KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN TAHUN 1446H/2024M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​

​Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

​​Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita berkongsi kejayaan dan kegembiraan dengan para graduan dan ibu bapa serta penjaga dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-14, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.

Beta juga dengan penuh syukur dan sukacita turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini sebagai tanda kejayaan dalam pengajian masing-masing. Tidak lupa juga penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas pengorbanan mereka untuk kejayaan para graduan.

KUPU SB memainkan peranan penting untuk melahirkan guru-guru ugama yang terlatih, selaku tonggak pembentuk akhlak dan pembekal ilmu bagi anak bangsa.

Untuk keberkesanan pendidikan, Beta sangat berharap supaya KUPU SB sentiasa menilai dan memperbaharui program-programnya supaya kekal relevan dan memenuhi keperluan negara, khasnya dalam bidang Pendidikan Islam. Disamping menghasilkan graduan, maka yang dihasilkan itu juga hendaklah mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Dari aspek pengurusan dan kesejahteraan warga KUPU SB pula, mereka juga adalah sangat perlu untuk terus diberi perhatian, bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti tinggi.

Beta juga menghargai usaha kepimpinan KUPU SB dalam menyusun strategi pembaharuan dan penambahbaikan di KUPU SB, yang meliputi penyusunan semula hala tuju, menyelaras sistem pengurusan dan pentadbiran, penjenamaan semula dan penubuhan pusat baharu, menyemak kursus dan struktur program, serta meneliti keperluan sumber tenaga manusia.

Beta juga menyambut baik akan segala usaha pembaikan, kerana pada hemet Beta, ini adalah tindakan yang tepat bagi sesebuah institusi pengajian tinggi untuk melakukannya dalam memburu kecemerlangan.

KUPU SB mesti menjadi pelopor bagi memperkasa pendidikan ugama dan juga jadi peneraju kepada dasar pendidikan patuh syarak. Dalam makna, KUPU SB bukan hanya setakat untuk melihat ke dalam dirinya semata-semata, malah juga berhak untuk turut memantau dan menilai, bahkan unutk memberi pandangan tentang mana-mana amalan atau strategi pendidikan yang memerlukan pembaikan dari segi hukum dan kemasyarakatan.

Dalam erti kata lain, KUPU SB mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk menyuarakan pandangannya melalui Majlis KUPU SB tentang apa-apa jua yang berkaitan dengan pendidikan ugama, selaras dengan tanggungjawab yang khusus dalam bidang perguruan ugama.

Akhirnya, Beta ingin mengambil peluang mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Ahli Majlis KUPU SB, pentadbiran KUPU SB di bawah pimpinan Ra’es, dan seluruh warga KUPU SB serta ibu bapa atau penjaga graduan yang turut sama-sama hadhir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen Ke-14 ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.​