TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KEDUA BELAS
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
TAHUN 1444H/2022M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Ke-12 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi ini.

Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan diatas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga di atas do’a dan dorongan mereka bagi kejayaan anak-anak.

Di samping itu, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada para ahli akademik KUPU SB yang telah memberikan bimbingan dedikasi kepada para graduan.

KUPU SB sangat terikat untuk mencontohi Rasullullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, selaku ‘Guru Tertinggi’ untuk mengajar dan membimbing umat dengan ajaran-ajaran yang dibawa Baginda.

Maka dalam hubungan ini, KUPU SB, selaku institusi perguruan, di samping terikat dengan program-program akademiknya, ia juga perlu terlibat untuk memberikan kursus-kursus atau latihan-latihan pemantapan syakhsiah dan pedagogi kepada guru-guru, bukan sahaja guru-guru pendidikan Islam, malah juga guru-guru seperti sains, matematik dan sebagainya.

Pemantapan syakhsiah guru adalah merujuk kepada penyerapan nilai-nilai MIB dan kerohanian di kalangan para guru, supaya setiap pengajaran dan pembelajaran itu mempunyai nilai-nilai ibadat dan amal salih.

Inilah kelainan yang ketara pendidikan Islam itu sebagai tidak meminggirkan perkara-perkara ukhrawi.

Beta juga mengetahui bahawa KUPU SB telah menyahut titah Beta semasa Hari Belia yang lepas, dengan menyediakan program-program pembinaan syakhsiah belia. Langkah ini memanglah bagus dan malah terpuji, kerana tanggungjawab pusat pengajian tinggi bukan sahaja untuk mendidik para pelajarnya, bahkan juga turut mendidik anggota masyarakat.

Beta juga mengambil maklum bahawa KUPU SB sentiasa membuat penilaian terhadap keberkesanan kurikulumnya, termasuk menggubal semula kurikulum bagi program-program lepas ijazah. Ini dibuat, supaya para siswa dan siswi, peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah mampu untuk berbincang dan berhujjah menyelesaikan isu-isu terkini berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Mengambil positif langkah KUPU SB ini, Beta ingin menyarankan supaya semua Institusi Pengajian Tinggi patut menilai, dan jika perlu, menggubal semula kurikulum program masing-masing bagi mewajarkan semua ilmu yang diperolehi akan benar-benar dapat dimanfa’atkan, bukan sahaja bagi diri sendiri malahan juga untuk memenuhi keperluan negara.

Negara memang memerlukan program-program akademik dan intelektual yang praktis. Praktis dalam erti kata dapat menyelesaikan isu masyarakat, termasuk meningkatkan kemudahan teknologi, memantapkan ekonomi, menyediakan sumber keselamatan makanan dan juga keselamatan negara.

Beta juga mengambil ingatan bahawa KUPU SB sedang mengendalikan bengkel-bengkel Pengajaran Bahasa Arab bagi guru-guru ugama, yang sebelum ini juga menganjurkan kursus-kursus yang dinamakan sebagai Lughah Al-Mu’allim atau Bahasa Guru.

Dengan mutu yang semakin tinggi dan kegiatan-kegiatannya yang menyerlah, maka KUPU SB dilihat semakin popular di kalangan universiti-universiti antarabangsa, khasnya di rantau ini. Selain program perguruan Islamnya, KUPU SB juga dikenali sebagai mempunyai program-program ko-kurikulum yang mantap untuk melahirkan para pendidik yang kompeten.

Ini, menyerlahkan imej baik bagi KUPU SB.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga KUPU SB, terutama Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Rais, Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik dan semua kakitangan di atas segala khidmat yang telah disumbangkan. Semoga Allah jua yang akan membalas dengan pahala berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​