TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KESEBELAS
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita hadir ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-11 pada pagi yang berkat ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik dan ahli keluarga di atas kesabaran dan dedikasi mereka memberikan bimbingan dan sokongan kepada para graduan sehingga mereka itu berjaya.

Dedikasi adalah antara ciri utama untuk meraih kejayaan dan keberkesanan dalam pendidikan. Oleh itu para guru, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan sendiri sangatlah mustahak untuk sentiasa memiliki sifat dedikasi itu.

Bagi para graduan adalah perlu untuk mengamalkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dari pusat pengajian seperti KUPU SB ini, serta menyebarkannya kepada masyarakat. Pengalaman dan pengetahuan yang sentiasa dipupuk dan diamalkan itulah, sebenar-benarnya, matlamat pengajian.

Beta melihat, KUPU SB sangat berkaitan dengan banyak keperluan semasa.

Sejak penggubalan korikulumnya beberapa tahun yang lalu, KUPU SB sudahpun menawarkan pelbagai kursus minor sebagai nilai tambah bagi pengalaman dan pasaran kerjaya graduannya.

Demikian juga KUPU SB telah menjadikan ‘Sejarah Islam’ sebagai subjek teras bagi Program Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama. Langkah ini diambil, adalah sebagai respon spontan terhadap titah Beta semasa Majlis Mengadap Hari Keputeraan pada tahun 2018, yang menyarankan supaya Mata Pelajaran Sejarah Islam itu dijadikan mata pelajaran wajib di semua institusi pengajian. Tahniah kepada KUPU SB.

Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah lagi fakulti baru di KUPU SB iaitu ‘Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan’, yang akan berfungsi untuk membuat penyelidikan, mengembangkan silibus dan pedagogi yang berkaitan dengan kemasyarakatan, seperti Sejarah Islam, Pendidikan Kesihatan, Peradaban dan lain-lain.

Beta juga gembira mengikuti langkah-langkah kemasyarakatan KUPU SB, seperti mengadakan program-program kerohanian dan intelek dengan menganjurkan umpamanya, jerayawara Menghalusi Sembahyang Menurut Mazhab As-Syafi’e yang melibatkan sehingga lebih kurang 1,500 guru-guru yang bukan mengajar subjek Pengetahuan Ugama Islam di Kementerian Pendidikan, menganjurkan Kursus Training for Trainers untuk guru-guru bagi kemahiran mengajar al-Qur’an, menganjurkan Seminar Kebangsaan Pendidikan MIB, mengadakan Bengkel Pemantapan Da’ie dan lain-lain.

Ini semua adalah projek ilmu yang bermanfaat belaka.

Dari sudut antarabangsa pula, Beta mengambil maklum bahawa KUPU SB adalah semakin menyerlah dikalangan universiti-­universiti mahupun individu yang berminat dalam bidang pendidikan. Beberapa seminar antarabangsa secara maya dan kesepakatan membuat kajian bersama diantara KUPU SB dengan universiti luar negara telahpun pernah diadakan. Sementara pada tahun ini, KUPU SB terus melangkah ke hadapan menawarkan biasiswa “Brunei Darussalam Government Scholarship for Foreign Students” kepada calon-calon yang berkelayakan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Apabila ini diteroka, bererti KUPU SB telah mengembangkan sayapnya sehingga ke arena antarabangsa.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas jasa dan khidmat mereka yang telah disumbangkan.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga setiap amal kebajikan itu akan diganjar oleh Allah dengan ganjaran yang melimpah-limpah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.