TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KESEPULUH
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA
SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1442H/2020M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-10 pada pagi yang mubarak ini.

Dengan amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Beta juga mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga serta para pensyarah KUPU SB yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada para graduan.

Kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini, perlulah disyukuri dengan meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap-Nya.

Matlamat KUPU SB ditubuhkan ialah untuk melahirkan modal insan pendidik yang berkepakaran. Begitu juga dengan UNISSA untuk melahirkan para ulama.

Alhamdulillah, kedua-dua buah institusi ugama ini sudahpun melahirkan sekian ramai graduan, cuma soalnya, adakah mereka itu sudah boleh diiktiraf sebagai ulama?

Pada hemat Beta, ini semua banyak bergantung kepada sistem dan program pengajian. Oleh itu, seyogia sistem dan program itu sentiasa dinilai atau direbiu.

Kiranya graduan Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama pada hari ini adalah keluaran dari program yang telah dikemaskinikan sejak tahun 2016. Program ini mengintegrasikan antara pengalaman akademik dan perkembangan syakhsiah melalui program kokurikulum.

Jika program seperti ini dilaksanakan dengan berkesan, pada pendapat Beta, ia sudah tentu mampu untuk melahirkan para graduan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.
Negara bergantung harapan kepada para pendidik untuk membentuk dan melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek, terutama aspek ilmu dan akhlak yang mulia.

Ilmu dan akhlak, manakala keduanya itu menjadi pakaian bagi bangsa, maka bangsa tersebut tidak diragukan lagi adalah bangsa yang bermartabat.

Inilah, yang kita di Brunei Darussalam sedang mengisi atau membina diri dengan ilmu dan akhlak yang dibawa oleh junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.

Adapun institusi pengajian tinggi, seperti KUPU SB, adalah turut dibebankan dengan amanah ini.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan yang mereka hulurkan. Semoga Allah jua yang akan membalasnya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.