BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Februari. – Mega Fiesta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bukan sekadar satu karnival biasa tetapi ia adalah satu platform yang memberi peluang kepada para siswa siswi KUPU SB dan masyarakat untuk meneroka bakat, mempamerkan kreativiti serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam suasana yang penuh keseronokan dan bermanfaat.
Mahasiswa – mahasiswi KUPU SB tidak dinafikan sememangnya termasuk dalam golongan belia yang memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara dan menjadi komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara.
Maka sebagai generasi pelapis, mereka bukan sahaja perlu memiliki ilmu pengetahuan akademik yang mantap tetapi juga seimbang dengan kemahiran- kemahiran yang relevan dalam menghadapi cabaran dunia serba moden ini.
Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Mega Fiesta KUPU SB 2025 berucap dalam alu-aluannya pada acara yang berlangsung di KUPU SB, hari ini. Menurut Awang Haji Md. Syahiran, dalam dunia perniagaan, sememangnya kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Setiap perniagaan pasti mempunyai elemen positif yang menjadi pemangkin kejayaan seperti inovasi, kejujuran dan strategi pemasaran yang berkesan, di mana inovasi membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran, kejujuran membina kepercayaan pelanggan dan strategi pemasaran yang baik akan meningkatkan jualan,” ujarnya.
Namun dalam masa yang sama, tegasnya, terdapat juga elemen negatif yang boleh menjadi penghalang, seperti persaingan tidak sihat, ketidaktelusan dan pengurusan kewangan yang lemah boleh mengancam kelangsungan perniagaan, menyebabkan kehilangan kepercayaan serta kerugian besar.

YANG Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan hadir pada perasmian Mega Fiesta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Oleh itu, Awang Haji Md. Syahiran seterusnya menekankan, adalah penting bagi seorang usahawan itu untuk mengenal pasti dan mengurus kedua-dua aspek ini dengan baik.
“Justeru, saya menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi agar mengambil peluang keemasan ini untuk menimba ilmu dan pengalaman serta membina keyakinan dan juga mengembangkan potensi diri.
Jangan takut untuk mencuba dan jangan mudah berputus asa dalam menempuh cabaran dunia keusahawanan yang pasti mengandungi untung dan rugi.
“Selain itu, mudah-mudahan melalui penganjuran acara seperti Mega Fiesta ini dapat memperkasakan KUPU SB sebagai sebuah institusi ilmu yang bukan sahaja unggul dalam pendidikan Islam, tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan yang melahirkan individu yang dinamik, berdaya saing, berjiwa keusahawanan dan berwawasan, di mana para siswa dan siswinya bersedia untuk menghadapi cabaran dunia sebenar dengan penuh keyakinan dan keazaman,” tambahnya lagi.
Perasmian acara yang buat julung kalinya diadakan itu disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; pegawai-pegawai eksekutif, pegawai – pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa-mahasiswi KUPU SB.
Objektif utama acara Mega Fiesta KUPU SB 2025 yang diadakan selama dua hari itu adalah sebagai platform serta memberi peluang kepada mahasiswa, mahasiswi dan Alumni KUPU SB mahupun pengusaha – pengusaha yang terlibat untuk mempamerkan produk-produk mereka di samping meneroka peluang baharu dalam dunia perniagaan.
Seiring dengan aspirasi negara dalam melahirkan belia yang berdikari serta berdaya saing di peringkat global, program ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda.
Pelbagai aktiviti menarik menanti sepanjang Mega Fiesta selama dua hari ini. Antaranya, bazar dan gerai – gerai keusahawanan yang akan melibatkan sejumlah lebih 40 pengusaha, terdiri daripada para pelajar, alumni, warga KUPU SB mahupun pengusaha luar, yang meliputi jualan makanan, minuman, barangan, pakaian, perkhidmatan dan aktiviti permainan.
Selain itu, aktiviti-aktiviti lain yang akan mengambil tempat seperti Sesi Taklimat Kerjaya, Sesi Kongsi Sama Usahawan Berjaya, Program Peningkatan Kompetensi, Persembahan Sketsa dan juga Pameran Kokurikulum yang akan melibatkan pasukan – pasukan beruniform KUPU SB seperti Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap Kelana, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah.
Aktiviti menarik pada acara kali ini juga diadakan adalah Studi@KUPU SB di mana ia akan memberi peluang kepada para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian di KUPU SB, mendapatkan info dan keterangan kursus-kursus atau program-program pengajian, di mana KUPU SB menawarkan program pengajian dari peringkat prasiswazah hingga ke peringkat pasca siswazah.
Orang ramai dialu-alukan berkunjung dan memeriahkan lagi Mega Fiesta selama dua hari yang dibukakan bermula seawal pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang, bertempat di Kampus KUPU SB.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 15 Februari 2025. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi. Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)
