Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TINGKATKAN KERJASAMA, PERKONGSIAN PENGALAMAN ANTARA KUPU SB, IPT SERANTAU

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Mei. - Rombongan seramai 20 orang dari Yayasan Kejayaan Muallaf Indonesia dan Universitas Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat Indonesia mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Yayasan Kejayaan Muallaf Indonesia, Muhamad Damanhuri; dan Rektor Universitas Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat Indonesia, Dr. Rahmad Saputra itu dialu-alukan oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Dalam sesi perbincangan bersama, antara bidang kerjasama yang dicadangkan meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan pengajaran dan kerjasama dalam mana-mana bidang yang memberikan manfaat kepada dua-dua belah pihak.

rombongan.png

MAJLIS Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universitas Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat.

Perjumpaan tersebut diteruskan dengan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUPU SB dan Universitas Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat.

Menandatangani bagi pihak KUPU SB ialah Ra'es KUPU SB, manakala Dr. Rahmad Saputra bagi pihak Universitas Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat Indonesia.

Penandatanganan MoU tersebut merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik di antara KUPU SB dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serantau.

Penandatanganan MoU tersebut juga selaras dengan objektif KUPU SB, iaitu menjalin kerjasama dengan IPT di dalam dan luar negara berkaitan hal ehwal perguruan, penyelidikan, perkhidmatan dan pengurusan, tenaga akademik dan pelajar.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para pegawai utama KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 8 Mei 2024. Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid Foto : Azmah Haji Ahad​)


Attachments