
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) adalah lanjutan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) yang ditubuhkan pada 25 Jamadilakhir 1395 bersamaan 5 Julai 1975. Bertitik tolak dari sini lahirnya sumber tenaga tempatan yang terlatih dalam bidang perguruan ugama di negara ini. Sempena sambutan awal tahun baru Hijrah 1428 bersamaan dengan 20 Januari 2007, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan bahawa MPUSB ditingkatkan tarafnya menjadi sebuah universiti dengan nama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Baginda menaruh harapan semoga KUPU SB akan menjadi kebanggaan negara, memenuhi keperluan Negara Brunei sendiri dan bersedia membuka pintunya kepada penuntut dari luar. KUPU SB memulakan program pengajian buat pertama kalinya pada awal bulan Ogos 2007.
FALSAFAH
Usaha berterusan bagi pembinaan umat bermaruah berasaskan keupayaan sistem pendidikan perguruan dalam menjana tradisi pengajaran-pembelajaran formal dan non-formal, untuk melahirkan pendidik dan pemimpin bertaqwa menerusi pemaduan tenaga pendidik yang berwibawa, berakhlak mulia, berbudaya ilmu yang tinggi dan kesediaan masyarakatnya untuk dibimbing bagi mendapat keberkatan, keredhaan dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
VISI
Untuk mencapai kemuliaan akhlak dan kecemerlangan ilmu perguruan ugama yang terbilang di Alam Melayu bertaraf antarabangsa.
MISI
Memartabatkan pengajian perguruan ugama melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, ketrampilan, teknologi dan jati diri berasaskan prinsip-prinsip Islam dan falsafah pendidikan negara.
MATLAMAT
Melahirkan sumber tenaga manusia sebagai hamba dan khalifah Allah yang berwibawa dalam pendidikan perguruan Islam, untuk membentuk masyarakat dan bangsa yang berilmu, beramal dan bertaqwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljama‘ah bermazhab Syafi’e serta mendukung kedudukan Ugama Islam sebagai ugama rasmi negara dan Konsep Negara Melayu Islam Beraja.
OBJEKTIF
- Mengadakan program latihan dalam bidang perguruan Islam di peringkat pengajian sijil, diploma, ijazah dan ijazah lanjutan serta kursus-kursus pemantapan dan peningkatan.
- Melaksanakan kajian dan penyelidikan ilmiah dan menyebarluaskan hasil pengalaman, penemuan dan penyelidikan dalam bidang pengajaran-pembelajaran menerusi penerbitan.
- Menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara berkaitan hal ehwal perguruan, penyelidikan, perkhidmatan dan pengurusan, tenaga akademik dan pelajar.

Profil KUPU SB 



