
Dr Hjh Masnon Binti Hj Ibrahim
Ra'es
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim adalah merupakan Ra’es yang pertama bagi Kolej Universiti perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan telah dilantik atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mulai 1hb Februari 2009. Sebelum itu beliau adalah Penolong Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Selepas menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1972, Dr Hajah Masnon telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang, Selangor selama setahun. Pada awal tahun 1974 Dr Hajah telah bertukar persekolahan ke Madrasah al-Juned, Singapura dan menamatkan tahun akhir persekolahan menengah pada tahun yang sama. Dengan kelulusan sekolah tersebut beliau telah menerima biasiswa Kerajaan bagi melanjutkan pengajian sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1979. Beliau mengikuti Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1982-1983. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Universiti yang sama pada tahun 1985 hingga tahun 1988 dan mengikuti ijazah Doktor falsafah di Universiti Malaya pada tahun 1988 hingga tahun 2001 dan merupakan wanita pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kesemua ijazah lanjutan yang diikutinya ini adalah secara Skim Latihan Dalam Perkhidmatan.
Dr Hajah Masnon telah memulakan kerjayanya dalam bidang akademik sebagai Pegawai Pelajaran Ugama pada akhir tahun 1979 dan pada awal tahun berikutnya beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah sehingga tahun 1982. Selepas memperolehi Diploma Pendidikan, beliau telah bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (sekarang menjadi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan) sehingga tahun 1985 dan sekali lagi kembali bertugas ke maktab tersebut pada tahun 1988 sehingga 1989 setelah memperolehi ijazah sarjana. Beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Pelajaran Ugama Kanan mulai tahun 1988. Pada tahun 1989 beliau diaturkan bertugas sebagai pensyarah di Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam dan menjadi Timbalan Pengarah institut berkenaan mulai tahun 1996 hingga tahun 1999.
Setelah menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah pada tahun 2001, Dr Hajah Masnon telah ditukarkan ke Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai Pensyarah Kanan. Di UBD beliau telah dilantik sebagai Timbalan Dekan institut tersebut pada tahun 2003 dan 2005 dan menjadi Dekan institut tersebut pada tahun 2006.
Apabila Universiti Islam Sultan Sharif Ali ditubuhkan pada awal tahun 2007 Dr Hajah Masnon telah dilantik sebagai Penolong Rektor. Sebelum dari itu Dr Hajah Masnon adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Pandu Penubuhan Universiti Islam Brunei (yang kemudaiannya dirasmikan dengan nama Universiti Islam Sultan Sharif Ali). Beliau juga adalah Ketua Sekretariat Penubuhan Universiti Islam tersebut.
Sebagai ahli akademik, Dr Hajah Masnon banyak membentangkan kertas kerja baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau aktif memberikan ceramah-ceramah agama termasuk dalam rancangan radio dan televisyen.
Dr Hajah Masnon melihat Kolej Universiti Perguruan Ugama dengan penawaran kursus-kursus yang terdapat di Kolej Universiti adalah sangat unik dalam konteks ilmu-ilmu dan kaedah pengajaran secara tradisi. Beliau berharap strategi Kolej Universiti ini untuk menjadi sebagai pusat perkembangan dan pengajaran ilmu turath menjadi realiti dan akan dipertahankan demi kecemerlangan ilmu perguruan agama yang terbilang di Alam Melayu bertaraf antarabangsa.

Pentadbiran 



