" أهلا وسهلا ومرحبا بكم "Selamat datang ke Kolej Universiti perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), satu-satunya pusat pengajian perguruan ugama kebanggaan negara yang pernah wujud sama ada di rantau ini mahupun di luar rantau..
Awal tahun 1431H/2010 ini Kolej Universiti perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah melepasi usianya 3 tahun. Walaupun berumur sebegitu muda, namun sebenarnya latar belakang dan sejarah perkhidmatan pendidikan Kolej Universiti ini telah melebihi 3 dekad yang lalu, iaitu suatu jangka masa yang sudah menjangkau usia dewasa. KUPU SB mempunyai sejarah reputasi ulung di bidang pendidikan ugama.
Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang perguruan ugama, KUPU SB adalah pilihan terbaik untuk diterokai oleh sesiapa sahaja yang ingin menyertai KUPU SB bagi memartabatkan pengajian perguruan ugama di negara ini. KUPU SB menawarkan program-program yang menjurus secara fokus kepada keperluan negara dalam bidang pendidikan dan perguruan ugama Islam. Ia dihasratkan akan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya dalam aspek kesejahteraan hidup rakyat dalam wawasan negara 2035.
Sebagai Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang pertama, adalah menjadi suatu cabaran yang besar kepada saya mengetuai pengurusan dan pentadbiran akademik dan non-akademik KUPU SB ini untuk membina dan meningkatkan kemajuan Kolej Universiti yang sedia ada ke tahap yang tertinggi serta untuk melonjakkan nama Kolej Universiti di peringkat antarabangsa.
Saya menyeru kepada semua tenaga pengajar di Kolej Universiti ini supaya sentiasa memberikan perkhidmatan pengajaran yang berkesan dan bermutu serta sentiasa meningkatkan keupayaan dalam bidang masing-masing untuk mencapai ke tahap yang terbaik.
Kepada para pelajar yang menjadi harapan bahkan sandaran bagi kekuatan sistem pendidikan ugama di sekolah-sekolah, hendaklah sentiasa bersedia memikul tanggungjawab dan amanah untuk memberikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan menyemai kesedaran terhadap penghayatan menjalankan amalan berugama pada murid-murid. Terdahulu dari itu mereka sepatutnya telah mempunyai persiapan dan kelengkapan diri secukupnya bagi memperolehi berbagai bentuk keilmuan dan kemahiran sebagai guru ugama yang akan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada murid-murid mereka.
Pada akhirnya saya sukacita mengajak semua warga KUPU SB untuk bersama-sama berusaha menjalankan peranan dan tanggungjawab melalui tugas masing-masing bagi menjadikan Kolej Universiti ini sebagai institusi pilihan yang sebaik-baiknya bagi sesiapa yang ingin mengikuti pengajian mereka di bidang pengkhususan perguruan ugama.
Dengan hormat;
Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim
Ra'es
Kolej Universiti perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB)
Km 2, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, BA 2111
No. tel. : +673 2241967
No. faks : +67322225226
Emel : Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya

Berita



