
UCAPAN
HAJI MD MAHDI BIN PEHIN ORANG KAYA DIGADONG SERI DIRAJA
DATO LAILA UTAMA HAJI ABDUL RAHMAN
SETIAUSAHA TETAP
KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA
MAJLIS
PERASMIAN SEMINAR PENDIDIKAN BERTALAQQI TEKS TRADISIONAL
RABU
01 ZULHIJJAH 1430H
Bersamaan
18 NOVEMBER 2009M
BERTEMPAT
DEWAN BESAR,
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
JALAN TUTONG,
BANDAR SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
بسم الله الرحمن الرحيم
Yang Mulia,
Dr Haji Abdullah bin Haji Awang Lampoh,
Timbalan Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan,
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Seminar Pendidikan Bertalaqqi Teks Tradisional,
Yang Mulia,
Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim,
Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan,
Pengarah-pengarah Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Yang Mulia Pensyarah-pensyarah Kanan,
Yang Mulia Pegawai-pegawai Kanan,
Pelajar-pelajar serta para peserta seminar yang dihormati sekalian
السلام عليكم ورحـمة الله وبركاته
الـحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والـمرسلين سيدنا مـحمد وعلى أله وصحبه أجـمعين.
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Seminar kerana memberi penghormatan kepada saya untuk hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis yang penuh keberkatan di pagi yang mulia ini.
1. PENDAHULUAN
Majlis ilmu seperti seminar adalah merupakan satu daripada cara pertukaran pendapat, pandangan dan pengalaman antara beberapa pihak dalam sesuatu perkara dengan cara pembentangan kertas kerja dan diskusi.
Saya difahamkan bahawa seminar ini menyentuh lebih fokus kepada pengajian teks tradisional atau kitab thurath (turas) dalam berbagai aspek yang setentunya memberikan banyak pengetahuan dan membuka idea-idea yang berguna kepada mereka yang menyertai seminar ini.
2. KITAB TURAS
Jika kita merujuk dan mengimbas kepada sejarah kelimuan dan sistem pengajian dahulu khasnya di alam Melayu Nusantara seperti sistem pengajian pondok, madrasah, masjid dan sebagainya, kitab thurath (turas) yang juga dikenali sebagai kitab kuning digunakan oleh para Ulama Islam dan guru-guru dalam mengajar dan menyampaikan ilmu yang sudah sepatutnya disebarkan kepada generasi baru lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan dan penyebaran ilmu-ilmu Islam masa kini baik dalam bentuk pengajaran formal atau tidak formal.
Kitab thurath (turas) atau kitab jawi lama sepatutlah juga menjadi bahan rujukan dan bacaan para pelajar. Namun demikian, dalam memahamkan kitab jawi lama tentulah tidak mudah kerana gaya bahasa yang digunakan tidak begitu banyak lagi digunakan dalam konteks pendidikan masa kini.
Ianya perlu diajar dan dibimbing oleh guru-guru yang pakar dan berkebolehan dalam memahamkan dan membaca isi kandungannya. Semuanya ini adalah satu cabaran kepada para ilmuan dan cendikiawan dalam memberikan didikan dan tunjuk ajar kepada pelajar.
Ini juga jelas memperlihatkan bahawa pentingnya kemahiran bagaimana untuk memahami kitab thurath (turas) itu perlu dimiliki oleh golongan pelajar selaku generasi penerus kepada para ulama yang juga merupakan pewaris para nabi.
Hadirin dan Hadirat yang saya hormati sekalian,
3. KURSUS KITAB TURATH
Dalam sebuah institusi di mana wujudnya kurikulum pendidikan yang teratur dan sempurna, pengajaran dan pembelajaran yang menepati kaedah akan memberikan satu hasil pembelajaran yang memuaskan. Namun demikian, objektif pengajaran masih lagi dilihat sama ada berjaya atau tidak.
Kursus-kursus kitab thurath (turas) yang disusun oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan telah menampakkan kepada kita bahawa warisan ilmu ini tidak diabaikan atau ditinggalkan begitu saja bahkan ianya dijadikan sebagai kitab pelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran.
Bahkan dirantau ini, terdapat institusi atau organisasi yang telah berusaha untuk mengadakan sesi kuliah, kelas dan kursus dalam menggunakan kitab thurath (turas) dan ianya dibukakan kepada siapa yang berminat dan ingin mengikutinya.
3. USAHA MEN"DIGITIZE" KITAB THURATH
Usaha mengadakan seminar seumpamanya ini jelas mencerminkan bahawa kitab thurath (turas) itu kekal mempunyai kepentingannya terhadap sistem pendidikan ugama dan juga generasi baru di Negara ini. Saya percaya masih terdapat ruang atau cara yang berbeza dan relevan untuk memperluaskan lagi usaha bagi mengekalkan tradisi penggunaan kitab thurath (turas).
Dalam hubungan ini, Insya Allah adalah tidak mustahil bagi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan suatu hari nanti turut mengambil salah satu langkah ke hadapan untuk memelihara kitab-kitab thurath (turas) secara ’digital’ ataupun ’digitized books’.
Namun perlu diingat bahawa, mana-mana ilmu pun apabila sudah boleh didapati dalam bentuk yang ’digital’ atau dapat diperolehi (accessed) secara ’online’, peranan guru dan pensyarah sebagai pendidik tetap relevan kerana mereka merupakan tempat para pelajar
seharusnya merujuk kembali ilmu-ilmu yang diperolehi itu demi memastikan ianya adalah fakta yang betul dan bukannya ilmu rekaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
4. TEMA SEMINAR
Maka, bersesuaian perlaksanaan seminar dengan temanya "Mempertahan dan Memperkasa Pendidikan Teks Tradisional" , adalah bertepatan sekali dan saya percaya bahawa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sebagai sebuah institusi Perguruan Ugama dapat memberikan satu inspirasi dan pemikiran yang membina dalam usahanya menghidupkan pengajian kitab turath (turas) di Kolej Universiti ini dan seterusnya sebagai wadah atau ’platform’ kepada memperkembangkan bidang ilmu dan nilai kualiti pendidikan bagi pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Universiti ini.
5. HARAPAN
Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Fakulti Syariah dan Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan kerana berjaya menganjurkan seminar selama dua hari mulai hari ini. Semoga usaha mengadakan seminar dalam bidangnya yang berbeza-beza berterusan pihak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Pada akhirnya saya ucapkan selamat berseminar dan semoga kita semua mendapat ilmu dan manfaat daripadanya.
Dengan mendahului kalimah
بسم الله الرحمن الرحيم
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والـمرسلين سيدنا مـحمد وعلى أله وصحبه أجـمعين.
Maka saya dengan sukacitanya merasmikan
"Seminar Pendidikan Bertalaqqi (Bertalakki)
Teks Tradisional"
anjuran bersama Fakulti Syariah
dan Pusat Bahasa
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Sekian
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berita




