oleh Ustazah Hjh Zaliha bte Hj Ibrahim, Dekan Fakulti Usuluddin
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Mulia, Dr Haji Abdullah bin Hj Awg Lampoh, Timbalan Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan selaku Tetamu Kehormat Majis Penutup Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama anjuran bersama Fakulti Usuluddin dan Pusat Ilmu Teras, Yang Mulia Ustaz Haji Abd Rahim bin Haji Gantang, Pendaftar KUPU SB, Yang Mulia Pegawai-pegawai Utama KUPU SB, Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Pengajian Islam, Tenaga-tenaga akademik KUPU SB, Guru-guru Besar Sekolah-sekolah Ugama, Jawatankuasa Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama dan Pelajar-pelajar yang dihormati.
Alhamdulillah, segala pujian dan syukur kita ucapkan kepada Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kerana dengan limpah dan kehendakNya jua, kita sekali lagi dapat berkumpul pada Majlis Penutup Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama anjuran bersama Fakulti Usuluddin dan Pusat Ilmu Teras.
Terlebih dahulu, saya selaku pengerusi bersama Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama sukacita mengalu-alukan kehadiran Yang Mulia, Dr Haji Abdullah bin Hj Awg Lampoh, Timbalan Raes KUPUSB selaku Tetamu kehormat majis dan berkesudian menyampaikan ucapan penutup pada majlis ini. Moga dengan kehadiran Yang Mulia, Timbalan Raes pada hari ini, akan memberikan kekuatan dan mencetuskan semangat kepada kita untuk terus mengadakan muzakarah atau seminar yang bermanfaat ini secara berterusan di masa akan datang, Insya Allah.
Alhamdulilah Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama anjuran bersama Fakulti Usuluddin dan Pusat Ilmu Teras yang diadakan selama dua hari ini pada 9-10 September 2009 diharapkan dapat mencapai objektif yang digariskan iaitu Membina kecemerlangan kerjaya guru ugama,Menjana jati diri dan mempertingkatkan syakhsiyah, ilmiyyah dan ruhaniyyah guru ugama, Memperkukuh ruhiyyah Islamiyyah dalam kerjaya dan komitmen guru ugama, Menyemai kesedaran dan kefahaman “Al-Ulama Warasat al-Anbiya” (Ulama Pewaris Para Nabi).
Hadhirin hadirat yang dihormati, Kejayaan sesuatu majlis ilmu itu mempunyai hubungkait yang baik dan rapat dengan adanya komitmen, sokongan dan kerjasama yang padu dari kalangan ahli-ahli jawatankuasa Muzakarah, pihak pentadbir, dan para peserta serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan buah fikiran, pandangan dan tenaga. Bagi para pelajar KUPU SB yang akan menjadi guru ugama dan sebahagiannya sudah menjadi guru ugama diharapkan akan lebih bersedia dengan hati yang putih untuk merealisasikan slogan ulama’ pewaris para nabi yang memahami peranan kekuatan kerohanian dan aspirasi serta dapat menjana jati diri dan komitmen dalam menjalankan tugas dan amanah yang mencabar ini. Apa yang penting segala gagasan dan isi kandungan kertas-kertas kerja yang disampaikan pada muzakarah ini akan dijadikan sebagai panduan dan kayu ukur untuk membuktikan bahawa guru ugama al-Rabbaniyyin itu merupakan role model dan pakar rujuk dalam segala hal khususnya yang berhubung kait dengan urusan ugama dan dunia. Penerus, penyebar dan pencinta sunnah Rasulullah sallahu alaihi wasallam ini akan menjadi batu permata yang bersinar yang menerangi bumi Darussalam dengan kilauan ilmu yang bermanfaat, iman yang mantap dan amal salih yang ikhlas. Dengan itu akan tercapailah hasrat Negara Zikir yang mengagungkan kebesaran Allah swt dan keindahan agama Islam yang suci.
Akhir kata, sekali lagi selaku pengerusi bersama, sukacita merakamkan ribuan terima kasih, penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Tertinggi d Muzakarah Memperkuat Kerohanian dan Aspirasi Guru Ugama anjuran bersama Fakulti Usuluddin dan Pusat Ilmu Teras, dan semua pihak yang telah memberi kerjasama dan bertungkus lumus dalam mengungkayahkan majlis ini. Didoakan semoga keikhlasan dan jasa baik abiskita akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt jua. Jazakumullah khairal jazaa wa barakallahu fikum. Di kesempatan ini juga, saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan andai kata terdapat sebarang kesilapan, kekurangan dan ketidak-selesaan di dalam pengendalian majlis ini berjalan.
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berita




