Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERKASA, MARTABATKAN KEDUDUKAN ZAKAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Jun. - Persidangan Antarabangsa Pendidikan Fiqh Al-Zakat anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan diadakan pada 23 dan 25 Syawal 1442 Hijrah bersamaan 5 dan 7 Jun 2021 Masihi bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis perasmian persidangan itu nanti ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Perkara tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa Sidang Media bertempat di Bilik Hikmah, KUPU SB.

Menurut Dr. Awang Haji Noralizam, pada tahun ini persidangan tersebut bertemakan 'Memperkasa Sosioekonomi Umat Islam Melalui Zakat', antara objektif persidangan tersebut diadakan ialah untuk memperkasakan dan memartabatkan kedudukan zakat di peringkat tempatan, negara dan global dengan mengenal pasti isu-isu berkaitan zakat secara teori dan praktikal.

''Melalui pembentangan persidangan tersebut, diharapkan dapat membincangkan hasil-hasil penyelidikan dan kajian yang berhubung kait dengan zakat dan mengemukakan solusi terhadap isu-isu berkaitan. Selain itu, ia diharapkan dapat mengetengahkan ideologi secara perbandingan bagi membuktikan Islam adalah cara hidup yang sempurna yang meliputi semua aspek dan mampu menjelaskan isu-isu berkaitan dengan ekonomi Islam dari sudut Syariah yang berkaitan dengan zakat,'' jelasnya.

pendidikan_zakatfp.jpg

PENGARAH Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar (tengah) ketika Sidang Media Persidangan Antarabangsa Pendidikan Fiqh Al-Zakat anjuran bersama KUPU SB dan Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Katanya menambah, antara sub-tema persidangan termasuk Fiqh Al-Zakat : Konsep, Falsafah dan Pemikiran serta kaitannya dengan ekonomi, perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah tentang zakat dan wakaf, peranan institusi zakat dalam pembangunan ekonomi Islam dan ummah, isu-isu kontemporari dan cabaran institusi zakat pada masa sekarang, pentadbiran dan pengurusan institusi zakat dan amalan-amalan terbaik pengurusan zakat.

''Sebanyak tiga Kertas Perdana, empat kertas utama dan lebih daripada 10 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan yang diadakan selama dua hari tersebut.

"Pembentang - pembentang Kertas Perdana terdiri daripada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, dengan tajuk memperkasa sosioekonomi umat Islam melalui zakat, Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Abdullah, dengan tajuk 'Memperkasa Sosioekonomi Umat Islam Melalui Zakat : Isu dan Cabaran Kontemporari' dan Dato Seri Setia Awang Haji Metussin bin Haji Baki dengan tajuk pembentangan 'Memperkasa Pengelolaan dan Pengurusan Zakat Dalam Memajukan Sosioekonomi Umat Islam : Cabaran dan Harapan'," jelasnya. PESERTA kursus juga didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal dengan mempelajari sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja.

Bagi sesi pembentangan kertas utama tambahnya, para pembentang terdiri daripada Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop; Penolong Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin dan Timbalan Mufti Selangor Malaysia, Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Dr. Haji Anhar bin Haji Opir.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pembentangan kertas kerja akan disampaikan oleh para akademik daripada KUPU SB, UNISSA, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Malang (UNISMA) dan Prince of Songkhlang, Thailand.

Orang ramai adalah dijemput dan dialu-alukan untuk menghadiri persidangan berkenaan. Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai persidangan, boleh menghubungi Setiausaha Bersama Persidangan, Siti Musfirah binti Misli menerusi talian +673 8746317 dan Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa menerusi talian +673 8628213.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 5 Jun 2021. Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid Foto : Masri Osman)

Attachments