Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

HARI THAILAND JALINAN PERSAHABATAN NBD – THAILAND

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 28 Februari. - Kedutaan Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam (NBD) mengadakan Hari Thailand sempena Hari Terbuka Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asmaul Husna beramai-ramai, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan.

hari_thai01.jpg

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (dua, kiri) semasa melancarkan Hari Thailand sempena Hari Terbuka Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan oleh Kedutaan Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Acara diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan, disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke NBD, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul, antara lain menjelaskan, menerusi acara berkenaan pelajar-pelajar Thailand yang belajar di NBD, kini berpeluang untuk memperkenalkan beberapa aspek Thailand, seperti makanan, pelancongan, kesenian dan kraf, di mana akan memperdalam lagi jalinan persahabatan di antara kedua-dua rakyat dan penduduk, iaitu dari NBD dan Thailand.

hari_thai02.jpg

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama semasa melawat pameran yang disediakan dan melihat demo masakan Thailand pada acara berkenaan (atas), sementara gambar bawah, antara persembahan yang menyerikan acara tersebut.

hari_thai03.jpg

Majlis, kemudiannya diikuti dengan Persembahan Choral Speaking, disampaikan oleh pelajar-pelajar Thailand; Bacaan Mawlid daripada Pelajar-pelajar KUPU SB; dan Persembahan Tarian Tradisional Thailand oleh Komuniti Thailand.

Tetamu kehormat, seterusnya melawat pameran-pameran yang disediakan dan kemudiannya dijemput untuk melihat demo masakan Thailand pada acara berkenaan.

Hari Thailand merupakan kerjasama istimewa di antara Kedutaan Besar Diraja Thailand, di NBD dan KUPU SB, disokong oleh pelajar-pelajar Thailand yang belajar, di negara ini.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 1 Mac 2021. Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin)


Attachments