Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB TUBUHKAN KADET TENTERA

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 26 Februari. - Penubuhan Kadet Tentera Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dihasrat bagi memenuhi misi dan visi KUPU SB untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai pelbagai pengetahuan yang seimbang di antara bidang akademik dan latihan praktikal.

Majlis Perasmian Penubuhan Kadet Tentera dan Penyampaian Kenaikan Pangkat Bagi Kadet Tentera KUPU SB berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, hari ini, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Pegawai Pemerintah Simpanan Melayu Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan, 444 Lt. Kol. Muhammad Suradzin bin Haji Muhammad Yusof.

kadet_tentera01.jpg

RA'ES KUPU SB dan Pegawai Pemerintah Simpanan Melayu Diraja Brunei, ABDB hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Kadet Tentera dan Penyampaian Kenaikan Pangkat Bagi Kadet Tentera KUPU SB.

Penubuhan Kadet Tentera ini juga menjadi hasrat KUPU SB untuk melahirkan bakal-bakal guru ugama dalam kalangan Kadet Tentera yang mempunyai ketahanan jati diri dari segi mental, fizikal dan emosi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Seterusnya, mewujudkan Kadet Tentera yang mempunyai semangat kerjasama, perpaduan, toleransi, saling menghormati, tolong-menolong serta bersikap pemedulian tanpa mengira agama, keturunan dan bangsa.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asmaul Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan beramai-ramai. Bacaan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Fajr ayat 1 hingga 9 dibacakan oleh Awang Waie Zakwan bin Norazman. Terjemaah ayat pula dibacakan oleh Kadet Tentera Pengambilan Ke-3 Sesi 2020 / 2021, KPL Muhammad Haazim bin Hasbollah.

kadet_tentera02.jpg

 Upacara menyampaikan tanda pangkat kepada para pelajar KUPU SB

Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras, 686 PW2 KT Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah, selaku Guru Pengawas Pasukan Kadet Tentera KUPU SB dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan terdapat beberapa klasifikasi sokongan bagi kenaikan pangkat yang perlu dipenuhi oleh semua kadet tentera di KUPU SB termasuk penilaian keperibadian seperti kelakuan am, kegigihan, inisiatif, perwatakan dan perawakan, kekuatan jasmani dan kepercayaan diri sendiri, penilaian prestasi bidang akademik iaitu lulus dalam penilaian peperiksaan PNJK 3.0 ke atas, penyertaan aktif dalam aktiviti anggota Kadet Tentera sepanjang tahun seperti mengikuti kursus pengenalan kadet tentera, kursus senjata, menyertai 'Fitness' di Kem Rimba, kursus dan Majlis Khatam Al-Quran sempena Jubli Emas 50 Tahun Kadet Tentera 2021 dan sebagainya.

Selain itu, penilaian bagi sokongan juga termasuk keaktifan Kadet Tentera dalam aktiviti KUPU SB sebagai anggota kadet tentera seperti perbarisan dan acara Menaikkan Bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 dan 2020, menyertai latihan kawad di KUPU SB, sukarelawan dalam aktiviti KUPU SB serta lain-lain. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penubuhan Kadet Tentera KUPU SB oleh Ra'es KUPUSB, Dr. Haji Adanan.

Seramai 14 Kadet Tentera KUPU SB menerima kenaikan pangkat mereka yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Angkatan Simpanan Melayu Diraja Brunei, 444 Lt. Kol Muhammad Suradzin. Pada majlis tersebut 94000 Sarjan Kadet Muhammad Jafni Fathullah bin Haji Jabidi dianugerahkan sebagai Kadet Terbaik KUPU SB.

Majlis juga diserikan dengan pameran statik ABDB termasuk helikopter, kereta kebal dan perahu ronda. Majlis Perasmian dan Kenaikan Pangkat Kadet Tentera KUPU SB tersebut diadakan bersempena dengan Hari Terbuka KUPU SB yang berlangsung selama empat hari iaitu bermula pada 25 hingga 28 Februari di mana pelbagai aktiviti dan acara sampingan diadakan bagi membarigakan lagi maklumat mengenai pengajian di KUPU SB.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke Hari Terbuka KUPU SB sehingga Ahad ini, bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Terbuka KUPU SB, boleh berhubung terus melalui talian +673 2236277.

Maklumat terkini juga boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi KUPU SB iaitu www.kupu-sb.edu.bn, Instagram rasmi @kupusb_official dan Facebook, KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 27 Februari 2021 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments