Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

STUDY AT KUPU SB JADI TUMPUAN PENGUNJUNG

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Februari. - Penganjuran Hari Terbuka Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dilihat sebagai medium kepada pembarigaan mengenai pengajian di kolej universiti tersebut, seterusnya menarik lebih banyak minat pelajar untuk menyertai dan meneruskan pengajian di sana, seterusnya memesankan agar para pelajar KUPU SB sentiasa Istiqamah dalam melaksanakan kebajikan juga mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara.

Demikian dijelaskan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar semasa Majlis Perasmian Hari Terbuka KUPU SB 2021, yang diadakan di Dewan Tarbiyah KUPU SB, di sini.

Pada majlis tersebut, beliau juga menambah, di mana hubungan baik KUPU SB bersama rakan-rakan strategik KUPU SB adalah sangat dihargai, seterusnya mendoakan agar ia akan terus kekal dan mendatangkan kebaikan, khususnya kepada pelajar KUPU SB.

study@kupu_01.png

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama semasa meninjau Hari Terbuka Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenaan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pelajaran, Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Haji Mohd. Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' beramai-ramai.

Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh selaku Pengerusi Hari Terbuka KUPU SB, dalam ucapan alu-aluannya pula menjelaskan, antara tujuan Hari Terbuka KUPU SB ialah untuk memberikan peluang kepada orang ramai dan pelajar-pelajar, khususnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program yang ditawarkan dan kegiatan akademik juga kokurikulum, di KUPU SB dan berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pensyarah-pensyarah dan pegawai-pegawai KUPU SB.

study@kupu_02.png

PEMANGKU Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh selaku Pengerusi Hari Terbuka KUPU SB semasa berucap.

Menurutnya, pada Hari Terbuka KUPU SB itu juga, akan mempamerkan penglibatan dan kegiatan pelajar-pelajar KUPU SB secara aktif dalam bidang akademik, kokurikulum, beruniform juga kegiatan keusahawanan, yang dilaksanakan sepanjang pengajian pelajar.

Majlis diteruskan dengan Perasmian Hari Terbuka KUPU SB oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan tayangan video Sukarelawan Frontliners KUPU SB.

Sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama juga penyertaan rakan-rakan strategik dan pelajar sukarelawan KUPU SB, penyampaian cenderahati juga sijil penghargaan disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Tumpuan utama pada Hari terbuka KUPU SB ialah Study at KUPU SB, di mana pelbagai program akademik ditawarkan, iaitu pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama; dan Ijazah Sarjana Perguruan Ugama, dalam pelbagai bidang, termasuk Usuluddin, Syariah, Sejarah dan Tamadun Islam, Pendidikan Islam, bahasa Arab dan Kajian Ahli Sunnah Waljamaah.

Bagi Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, ditawarkan bidang pendidikan Islam dan pelbagai bidang minor, manakala, diploma pengajian, termasuk Diploma pengajian seni Al-Quran, Diploma pengajian Kitab Turath, Kemahiran jawi dan kaligrafi serta Diploma Pengajian Fiqh al-Usrah.

Selain itu, sebanyak 52 petak pameran dan jualan daripada pelbagai vendors turut diadakan bagi menyerikan Hari Terbuka KUPU SB, termasuk Pameran Kokurikulum pelajar KUPU SB, Pameran Statik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ekspo keusahawanan, taklimat i-Usahawanan dan pendidikan keselamatan bomba, bengkel-bengkel kemahiran, seperti tip-tip menulis CV dan temu duga, bengkel refleksologi sukan, sukan memanah juga tayangan filem pelajar KUPU SB, di samping pameran kebudayaan yang akan disertai oleh beberapa kedutaan.

Hari Terbuka KUPU SB yang diadakan merujuk kepada garis pandu dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam, termasuk pemeriksaan suhu badan, imbasan Kod QR dan penjarakan sosial.

Bagi yang berasa kurang sihat adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi Hari Terbuka tersebut.

Orang ramai adalah dijemput dan dialu-alukan hadir ke Hari Terbuka KUPU SB dan menyertai acara-acara sampingan yang dianjurkan sepanjang empat hari, bermula 25 Februari hingga Ahad, 28 Februari 2021, pada 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Terbuka KUPU SB, boleh berhubung terus menerusi talian +673 223 6277.

Maklumat terkini juga boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi KUP SB, iaitu www.kupu-sb.edu.bn atau Instagram rasmi @kupusb_official atau Facebook Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 27 Februari 2021 oleh : Haniza Abdul Latif Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)


Attachments