Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB BERTAHLIL SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena Majlis Konvokesyen Ke-10 KUPU SB yang akan berlangsung pada 23 November nanti.

Majlis yang diadakan di Kubah Makam Diraja itu adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

tahlil2020.png

PEMANGKU Timbalan Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha semasa mengetuai Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena Majlis Konvokesyen Ke-10 KUPU SB di Kubah Makam Diraja.

Hadir bagi menyertai majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha serta para pegawai utama, pensyarah, kakitangan dan bakal graduan lelaki KUPU SB.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin yang diketuai oleh Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.

Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil yang dipimpin oleh Tenaga Akademik Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Md. Noor bin Haji Ibrahim.

Pada tahun ini, seramai 251 bakal graduan dalam program Sarjana Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama dan Diploma akan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-10 KUPU SB itu nanti.



(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 23 November 2020. Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi) 


Attachments