Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TINGKAT KUALITI BACAAN AL-QURAN DENGAN TADABBUR

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Al-Quran adalah cahaya petunjuk kebenaran dan peringatan bagi orang yang mengambil manfaat daripadanya.

Al-Quran bukanlah sebuah kitab yang hanya dibaca, namun ia juga perlu difahami, ditadabburi juga dihayati dalam kehidupan seharian dan diajar kepada masyarakat awam, terutama para jemaah masjid.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah bertitah pada Majlis Pembukaan Rasmi Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pada 29 Januari 1999 :

"Sekarang terdapat kecenderungan memanfaatkan masjid sebagai pusat ilmu, iaitu suatu kecenderungan yang sihat. Maka kita pun bergerak mengadakan kutubkhanahkutubkhanah atau mini kutubkhanah untuk orang ramai merujuk dan membaca kitab-kitab.

"Langkah ini, beta percaya, adalah satu cara yang baik ke arah memakmurkan masjid-masjid, akan tetapi, di samping itu juga, ia akan lebih berkesan lagi jika terdapat pula Pegawai-pegawai Masjid sendiri yang mampu menjadi guru kepada ramai, dalam makna mereka juga imam dan mereka juga mualim kepada jemaah masing-masing".

Sehubungan itu, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Latihan Training of Trainers kepada Pegawai-pegawai Masjid yang dinamakan sebagai Bengkel Tadabbur Al-Quran KHEU.

Bengkel ini dilaksanakan selama dua hari, bermula hari ini, di Dewan Tarbiyah KUPU SB.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan bengkel tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

tadabbur01.jpg

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan ucapan (kiri), manakala gambar kanan, salah seorang fasilitator, Dekan Fakuti Usuluddin KUPU SB, Dr. Mikdar Rusdi semasa berucap pada Bengkel Tadabbur Al-Quran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) tersebut. 

Seramai 100 peserta, terdiri daripada para Pegawai Masjid seluruh negara menghadiri bengkel tersebut.

Manakala, para pembengkel dan fasilitator, terdiri daripada Tenaga Akademik KUPU SB.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama semasa berucap menekankan, bahawa Al-Quran adalah sumber rujukan utama dalam kehidupan orang Islam yang terkandung di dalamnya perkara-perkara berhubung-kait dengan Akidah, Syariah dan Akhlak. 

Menurut beliau, mempelajari dan memahami juga menghayati ajarannya adalah suatu kewajipan bagi setiap individu dalam masyarakat Islam.

"Sungguh, Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, bahkan ia perlu difahami dan dihayati kerana di dalamnya terkandung banyak khazanah ilmu yang sangat bernilai yang hanya dapat diperoleh dengan cara mentadabbur atau memahami ayat-ayatnya," katanya.

tadabbur02.jpg

ANTARA peserta yang mengikuti bengkel.

Beliau menjelaskan, Tadabbur Al-Quran perlu kepada ilmu juga kaedah atau metodologi, ini kerana fungsi tadabbur itu mempunyai kelebihan dan kebaikan sebagaimana yang dinukilkan daripada Imam As-Suyuti rahimahullah, yang mendefinisikan tadabbur Al-Quran itu dengan memerhatikan perintah suruhan juga larangan di dalam Al-Quran dan berusaha untuk menerima juga beramal dengannya kerana natijah yang diperoleh daripada amalan tadabbur akan menghasilkan sifat takwa dan meningkatkan keyakinan juga keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.

Beliau, seterusnya juga berharap para peserta berkenaan akan dapat mempelajari dan memahami kaedah tadabbur Al-Quran yang berkesan, mengetahui dan memahami metodologi pengajarannya, selain bengkel tersebut menjadi medan latihan kepada para peserta, di mana mereka seterusnya akan dapat mempraktikkannya di masjidmasjid, surau-surau dan balai-balai ibadat.

"Peramba / saya yakin menerusi bengkel ini, para pesertanya akan dapat memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari di dalam bengkel ini. Dan ini, sekali gus akan dapat memantapkan lagi fungsi masjid itu sebagai pusat ilmu, terutama dalam memberi kefahaman ilmu Al-Quran dengan cara pendekatan dan pedagogi yang berkesan dan mudah difahami oleh masyarakat setempat," katanya.

Beliau turut menyeru kepada Pegawai-pegawai Masjid dan para imam untuk sentiasa berusaha mempertingkatkan diri, terutama dalam pembacaan Al-Quran, iaitu bacaan yang fasih, tartil dan bertajwid juga disusuli dengan kefahaman dan penghayatan terhadap bacaan tersebut juga memahami zikir-zikir yang dilafazkan dalam sembahyang.

Antara tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menjelaskan kaedah tadabbur Al-Quran yang berkesan. Selain itu, ia turut menerangkan metodologi pengajaran tadabbur Al-Quran di masjid, seterusnya melatih Pegawai-pegawai Masjid sebagai mualim mengajarkan tadabbur Al-Quran kepada jemaah masjid.

Sesi pertama bengkel tersebut, diisi dengan Tadabbur ayat-ayat dari Surah Al-Fatihah, manakala sesi kedua pula, mengenai Tadabbur Kisah-kisah dalam Al-Quran.

Pada sesi ketiga, para peserta akan dikongsikan mengenai Kaifiat Tadabbur Surah-surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas, diikuti Kaifiat Surah As-Sajdah pada sesi keempat. Sesi kelima, pada hari kedua bengkel pula, akan diisi dengan taklimat mengenai Adab-adab Mudabbir Al-Quran, Kaedah Tadabbural-Quran yang Berkesan dan Metodologi Pengajaran Tadabbur Al-Quran di masjid.

Bengkel berupa Latihan Training of Trainers kepada Pegawai Masjid ini diharap akan menjadi platform bagi para peserta untuk meningkatkan lagi kualiti bacaan Al-Quran dengan Tadabbur juga kefahaman dalam pelbagai metodologi dan kaedah penyampaian pengajaran lebih menarik agar para pegawai masjid berperanan sebagai mualim dalam menyebarkan Tadabbur Al-Quran kepada jemaah masjid.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 18 November 2020. Berita dan Foto oleh Marlinawaty Hussin) 

Attachments