Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TABUNG TEKAD IBADAH KORBAN DIRASMIKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. - Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar KUPU SB memperkenalkan Program Tabung Tekad Ibadah Korban yang dibukakan bagi warga KUPU SB, khususnya mahasiswa KUPU SB yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban melalui konsep menabung setiap bulan sehingga jumlah wang yang dikumpulkan mencukupi untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun akan datang.

Tabung Tekad Ibadah Korban yang akan diselaraskan oleh pihak Majlis Persatuan Pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB tersebut bermula pada bulan Ogos ini. Hadir dalam majlis perasmian program tersebut, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.


RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (tengah) hadir dan merasmikan Program Tabung Tekad Ibadah Korban, di Dewan Tarbiyah, KUPU SB

Antara objektif diperkenalkan program ini ialah bagi mendidik dan menggalakkan khususnya mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB untuk menabung sebahagian rezeki yang diterima ke arah mendekatkan lagi diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mewujudkan sifat murah hati dan sifat terpuji dalam diri mereka khususnya lagi pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.

Usaha ini juga dilakukan untuk terus mendidik mahasiswa dan mahasiswi untuk tidak pernah meninggalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, khususnya orang-orang yang sangat memerlukan. Turut hadir dalam majlis tersebut, pegawaipegawai utama, pensyarah dan kakitangan KUPU SB.



(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 5 Ogos 2020 oleh KUPU SB)

Attachments