Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PEMBELAJARAN DALAM TALIAN PERKASA KEMAHIRAN TEKNOLOGI

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 30 Mac. - Dalam memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar dinegara ini sentiasa terjaga dan terhindar daripada sebarang kemungkinan jangkitan wabak COVID-19, sesi pengajaran dan pembelajaran bagi semua sekolah-sekolah rendah, menengah, pusat tingkatan enam, sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, termasuk sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah-sekolah swasta bermula hari ini dipraktikkan secara dalam talian (online).

Pelajar-pelajar juga dikehendaki untuk terus berada di rumah dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian melalui pelbagai landasan mengikut kapasiti sekolah masing-masing, sama ada melalui e-mel, Google Docs, Aplikasi WhatsApp, Video Conference, Microsoft Teams dan platform media sosial atau sebarang aplikasi telekomunikasi yang bersesuaian.

Dalam temu bual Pelita Brunei menerusi mediasosial, WhatsApp, Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman menyatakan pihak KUPU SB sejak 24 Mac mula menjalankan sesi kuliah melalui dalam talian dengan menggunakan teknologi digital dan laman sesawang sedia ada yang menawarkan pembelajaran dalam talian, seperti Google Classroom, Microsoft Team, Aplikasi ZOOM dan apa jua kaedah e-learning yang bersesuaian dan mudah untuk dilaksanakan oleh pensyarah dan pelajar.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa Video Conference merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling aktif digunakan ketika ini dalam kalangan pensyarah dan pelajar KUPU SB.

"Sesi kuliah dan tutorial yang dijalankan melalui dalam talian masih mengikut jadual hari dan jam kelas yang sedia ada dan tertakluk kepada jadual masing-masing, dalam sehari, kelas yang diadakan melalui dalam talian boleh berlangsung empat ke lima jam sehari.

''Jadi, walaupun pelajar tidak hadir ke kampus, tetapi mereka masih menjalankan pengkuliahan seperti biasa setiap hari bersama pensyarah masing-masing. Bezanya saja, ia sekarang dilaksanakan secara online,'' katanya lagi. 

KAEDAH pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang dipraktikkan oleh KUPU SB.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Pentadbiran Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), Awang Mohd. Azmi bin Haji Mohd. Yakup menjelaskan semua guru hari ini memulakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan online bersama penuntut-penuntut yang mempunyai kemudahan akses ke internet, guru-guru mengadakan online teaching learning (nota dan tugasan) mengikuti jadual yang sudah disediakan.

Manakala bagi penuntut-penuntut yang tidak mempunyai kemudahan Sistem Home Learning Pack (HLP) yang berupa nota dan tugasan hardcopy yang disediakan oleh guru-guru.

Ibu bapa dan penjaga penuntut akan dating kesekolah mengambil HLP di dewan serbaguna dan tugasan dikembalikan semula ke sekolah dalam jangkaan waktu seminggu selepas itu.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 1 April 2020 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan KUPU SB, SMSUA, Pg. Shah Rizal Pg. Haji Md. Said)



Attachments