Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN KUPU SB JADI TUMPUAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Januari. - Keprihatinan terhadap kebajikan siswa dan siswazah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) terutama kemudahan dan prasarana serta fasiliti pembelajaran menjadi tumpuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke kolej berkenaan. 

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar'AliSaifuddienSa'adulKhairiWaddien,SultandanYangDi-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (atas dan bawah).

 

Lawatan tersebut jelas menunjukkan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kesejahteraan dan kebajikan siswa dan siswazah demi memastikan keselesaan para pelajar yang mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

 

Mengiringi baginda di sepanjang lawatan tersebut ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha dan Pemangku Penolong Ra'es, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh. 

KDYMM berkenan meninjau beberapa bahagian dan kemudahan - kemudahan di kolej berkenaan (kiri sekali dan kiri).

 

BAGINDA berkenan meninjau lebih dekat asrama dan kemudahan di KUPU SB (atas dan bawah).

Semasa lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninjau beberapa bahagian dan kemudahan-kemudahan termasuk asrama, perpustakaan, fakulti-fakulti, pejabat-pejabat, bilik-bilik pensyarah, bilik-bilik kuliah dan sebagainya. 

 

Seperti institusi pendidikan tinggi yang lain, KUPU SB menyediakan asrama bagi para pelajar sepanjang pengajian mereka di kolej berkenaan dengan meletakkan blok berasingan bagi asrama siswa dan asrama siswazah. Asrama siswa didiami oleh 84 orang manakala asrama siswazah didiami oleh 93 orang. 

 

Semasa mengadakan lawatan ke blok-blok asrama, baginda juga berkenan melawat ke ruang bilik-bilik para siswa dan siswazah kolej berkenaan, dewan makan serta surau bagi memastikan lagi kelengkapan serta keadaan asrama berkenaan.

 

KUPU SB menawarkan sebanyak 16 program dan ketika ini, KUPU SB mempunyai jumlah keseluruhan pelajar sebanyak 775 orang terdiri daripada 310 lelaki dan 465 perempuan. Kolej tersebut merupakan satu-satunya kolej universiti yang menawarkan program-program latihan dalam bidang perguruan ugama di Negara Brunei Darussalam.  

KDYMM ketika berinteraksi bersama warga KUPU SB (atas dan bawah).

 

Sejak dari penaiktarafannya, KUPU SB semakin giat dalam menawarkan pelbagai program latihan dalam bidang perguruan ugama pada peringkat pengajian sijil, diploma, ijazah dan ijazah lanjutan serta kursus-kursus pemantapan bagi bakal guru dan guru yang sudah berkhidmat serta disokong oleh tenaga-tenaga akademik terdiri daripada profesor madya, penolong kanan profesor, pensyarah, penolong pensyarah dan guru agama. 

 

KUPU SB berdiri dengan falsafah tersendiri iaitu dengan terus berusaha bagi pembinaan umat bermaruah berasaskan keupayaan sistem pendidikan perguruan dalam menjana tradisi pengajaran formal dan non-formal, pemanduan tenaga pendidik yang berwibawa, berakhlak mulia, berbudaya ilmu yang tinggi dan kesediaan masyarakatnya untuk dibimbing. 

 

Ini dilaksanakan melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan dan teknologi sepertimana yang diperlukan oleh Abad Ke-21 dan perkembangan Revolusi Industri 4.0. 

 

KUPU SB mempunyai tiga fakulti utama iaitu Fakulti Pendidikan, Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin yang disokong oleh enam pusat iaitu Pusat Ilmu Teras, Pusat Bahasa, Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Pusat Fiqh al-Usrah dan yang terbaharu ditubuhkan, Pusat Pengkajian Jawi dan Kitab Turath. 

 

Memahami akan keperluan era yang bergerak pantas menuju kepentingan mempelbagaikan kemahiran dan kompetensi, KUPU SB turut mengembangkan peranannya dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai keseimbangan dari segi perkembangan intelek, perkembangan fizikal, emosi dan rohani bagi menyokong masyarakat dan negara.  

 

Program Kokurikulum dijadikan landasan bagi pelajar mengembangkan dan memperkukuhkan bakat dan minat serta potensi diri dengan matlamat program kokurikulum adalah bagi memenuhi hasrat KUPU SB dalam mewujudkan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh supaya pelajar menjadi pendidik profesional yang lebih matang dan berdaya saing yang sentiasa memiliki sifat–sifat murni seperti berdisiplin, dedikasi, berdikari, bermoral, bersyukur dan bertanggungjawab. 

LAWATAN tersebut jelas menunjukkan pemedulian baginda terhadap kesejahteraan dan kebajikan siswa dan siswazah demi memastikan keselesaan para pelajar yang mengikuti pengajian di kolej berkenaan (atas dan bawah kiri dan bawah kanan).

 

Bagi mencapai visi KUPU SB untuk menjadi sebuah institusi perguruan ugama yang terbilang di alam Melayu bertaraf antarabangsa bagi mencapai kemuliaan akhlak dan kecemerlangan ilmu, KUPU SB juga terus berusaha bagi menjalinkan rangkaian kerjasama berkaitan perguruan dan pendidikan Islam melalui penyelidikan, perkhidmatan dan pengurusan, tenaga akademik dan pelajar melalui perjanjian persefahaman dan persetujuan.  

 

KUPU SB secara berterusan akan meningkatkan usaha dalam menyebar dan mempertahankan ajaran agama Islam melalui perguruan ugama dan seterusnya melahirkan manusia pendidik yang berilmu dan beramal menurut acuan Ahli Sunnah Waljamaah.

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 25 Januari 2020 oleh Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin)

​

Attachments