Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MEMPERKUKUH ALIRAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan harapan agar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan terus beroperasi tanpa sebarang gangguan yang menghambat pusat berkenaan, dengan pengurusan dan pentadbiran yang baik untuk menjana ilmu, latihan, penyelidikan, perkhidmatan dan jati diri, sebagaimana terungkap dalam misi penubuhannya. 

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’zzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adatul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke KUPU SB.

 

Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan bahawa matlamat penubuhan KUPU SB adalah untuk melahirkan sumber tenaga manusia berwibawa khususnya dalam perguruan ugama. 

 

"Janganlah lari daripada matlamat ini sehingga terjelmalah satu masyarakat bangsa yang benar-benar berilmu, beramal dan bertaqwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. Beta mahu KUPU SB berganding bahu dengan UNISSA bagi memperkukuh aliran Ahli Sunnah Waljamaah di negara ini," titah baginda menekankan semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke KUPU SB, di sini. 

 

Baginda seterusnya bertitah menyatakan, dalam era baharu sekarang macam-macam teori atau pendapat sedang dijaja. Negara Brunei Darussalam, tegas baginda lagi, tidak usahlah terpengaruh dengannya bahkan adalah dengan memadai dan selamat untuk kita konsisten dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. 

 

"Tumpukanlah masa untuk membina Brunei dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat seperti contohnya ilmu Bahasa Arab, kalau tidak silap beta KUPU SB mempunyai program pendidikan Bahasa Arabnya, program ini mustahak dipertahankan sambil KUPU SB juga wajar menyumbang kepada sekolah Arab untuk memperkasa Bahasa Arab kerana mata pelajaran bahasa ini masih saja dilihat lemah di sekolah Arab berbanding bahasa lain," titah baginda. 

 

Kebawah DYMM kemudian menyatakan bahawa KUPU SB terdapat Fakulti Usuluddin yang berkaitan dengan dakwah dan melalui fakulti ini mengapa tidak diwujudkan satu korikulum khas untuk memperkasa dakwah. Perkara itu ditekankan oleh baginda kerana ia sangat penting kerana dakwah di Negara Brunei Darussalam masih belum tajam malah memerlukan peningkatan serta kita perlu peka untuk mengatasi kelemahan ini.

(Petikan dari Pelita Brunei, Khamis 23 Januari 2020 oleh Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin)

Attachments