Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENGHARGAAN KUPU SB BAGI PELAJAR CEMERLANG

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Oktober. - Seramai 17 pelajar cemerlang Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima Anugerah Akademik pada Majlis Malam Graduan dan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Majlis Konvokesyen Kesembilan KUPU SB Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2019 Masihi.

Para pelajar terdiri daripada Penerima Anugerah Ra'es; Penerima Anugerah Dekan; Anugerah Dekan Bidang Pendidikan; dan Anugerah Dekan Bidang Kurikulum dan Kurikulum Tambahan.

Majlis itu diadakan untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang sepanjang pengajian mengikut program dan bidang Sesi Pengajian 2018 / 2019, di samping meningkatkan rasa syukur dan tawaduk para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di KUPU SB, seterusnya menggalakkan graduan juga pelajar supaya berterima kasih dan menghargai staf akademik juga staf pengurusan KUPU SB atas sumbangan khidmat yang diberikan semasa pengajian mereka di kolej berkenaan.


MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyempurnakan penyampaian Anugerah Ra'es; Penerima Anugerah Dekan; Anugerah Dekan Bidang Pendidikan; dan Anugerah Dekan Bidang Kurikulum dan Kurikulum Tambahan kepada para penerima. 


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Malam Graduan dan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Majlis Konvokesyen Kesembilan KUPU SB tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyampaikan anugerah kepada para penerima pada majlis di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis pada malam itu juga diselajurkan dengan Majlis Penandatanganan lapan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KUPU SB bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); University of Sindh, Jamshoro Pakistan; Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Indonesia; Universitas Islam Raden Intan Lampung, Indonesia; Institut Dirosat Islamiyah Al-Amien (IDIA), Indonesia; Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia Kapuas Hulu; dan Tazkia International Islamic Boarding School, Indonesia.

Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB adalah Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, manakala menandatangani bagi universiti-universiti luar berkenaan ialah Naib Canselor, rektor atau perwakilan Universiti luar.

Penandatangan ini merupakan salah satu bentuk respon bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian Pengalaman terbaik di antara KUPU SB dengan Institusi Pengajian Tinggi serantau.

Bidang kerjasama tersebut meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan juga pengajaran dan kerjasama dalam mana-mana bidang-bidang yang memberikan manfaat kepada dua-dua belah pihak.

Kemudian majlis diteruskan dengan Penyampaian Wakaf Tarbiyah Graduan Konvokesyen Kesembilan KUPU SB 2019.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pemerintah ABDB, Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira bin Haji Noor Kaseh; Ahli-ahli Majlis KUPU SB; pegawai-pegawai utama; Pensyarah-pensyarah KUPU SB; juga para graduan dan pelajar.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 Oktober 2019 oleh Saerah Haji Abdul Ghani)

Attachments