Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENDIDIKAN PELABURAN SEPANJANG HAYAT

BERAKAS, Selasa, 15 Oktober. - Guru adalah penyampai pendidikan, sementara pendidikan pula adalah aset terpenting dalam pembangunan negara, jadi kita perlu ingat bahawa perguruan adalah kerjaya paling utama kerana dari usaha gurulah lahirnya modal insan profesional dalam pelbagai bidang.

Oleh itu, tugas guru ialah mewariskan ilmu kepada anak bangsa, dan anak bangsa perlu menerima pewarisan ini untuk dipakai dan dikembangkan.

Dipakai bererti dipelajari dan diamalkan, sementara dikembangkan pula ialah mengajar dan menyebarluaskannya. Ini mesti berlaku secara berterusan, tidak boleh putus, dan jika putus bermakna putus pula pelaburan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bertitah menggariskan mengenai perkara tersebut pada Majlis Konvokesyen Ke-9 KUPU SB, yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen Ke-9 KUPU SB, di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lagi, pendidikan tidak syak lagi adalah pelaburan sepanjang hayat, ia tidak mengenal limit atau batasan, ia tidak takluk di bawah angka dan angka tidak boleh digunakan untuk menyekat pelaburan ilmu.

''Kerana itu adalah salah jika pendidikan disekat kerana takut tiada pekerjaan atau takut pengangguran bertambah,'' tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Justeru titah Kebawah DYMM, adalah pasti pendidikan itu satu pelaburan, sementara kerjaya atau pekerjaan pula satu pelaburan lain, keduanya sama - sama penting, tetapi yang lebih penting, malah utama ialah pelaburan pendidikan.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 KUPU SB di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Kalau alam pekerjaan boleh saja diteroka kemudian, tetapi pendidikan tidak dapat ditangguh-tangguhkan, titah baginda.

Demikian itulah pentingnya pendidikan tegas baginda, bilamana Allah sendiri melalui pena dan tulisan telah mengajar kita manusia apa-apa yang tidak diketahui (lihat Surah Al-'Alaq, ayat-ayat 4 dan 5).

Terdahulu, baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan juga kepada para ibu bapa atas doa dan dorongan padu mereka terhadap cita-cita anak-anak.

Dalam pada itu, baginda turut gembira mengetahui KUPU SB terus menerus berusaha memantapkan programprogram akademiknya dan menggembleng pembentukan sahsiah para pelajarnya melalui aktiviti - aktiviti kokurikulum.

Sehubungan itu, baginda juga menyarankan supaya semua institusi pengajian tinggi bekerjasama menggiatkan aktiviti akademik yang berkebajikan untuk negara, dan kepada KUPU SB, baginda juga pernah bertitah mengenai 'Tulisan Jawi'.

''Pada hemat beta, Tulisan Jawi tidak wajar dibebankan kepada KUPU SB sahaja, sedangkan ia menyangkut tanggungjawab semua. Kerana bukankah Tulisan Jawi itu sama dengan Bahasa, merupakan jiwa dan identiti bangsa?,'' titah baginda.

Tegas baginda, selaku milik bersama, maka semua pihak, terutama pusat-pusat pengajian tinggi wajarlah bergerak bersama-sama, bantu membantu untuk mendaulatkan warisan ini, dan baginda berdasarkan rasionalnya telah memperkenankan Penubuhan Pusat Pengkajian Jawi.

Baginda juga pernah bertitah mengenai perlunya 'Sejarah Islam' diajar di sekolah-sekolah, termasuk pusat pengajian tinggi bagi dijadikan sebagai mata pelajaran sampingan sahaja kepada mata pelajaran sejarah yang sudah sedia diajarkan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi di negara ini.

''Beta gembira mengetahui KUPU SB telah mengadakan Seminar mengenainya. Di sinilah indahnya 'Sejarah Islam' itu yang bersangkut paut dengan konsep MIB dan Negara Zikir,'' titah baginda.

Maka demi kewajipan terhadap ugama dan negara, baginda ingin mengingatkan supaya kita mesti berfikir dan bertindak secara orang Brunei tulen, bukan berfikir dan bertindak secara di luar Brunei.

Baginda turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, khususnya kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Senat, Ra'es, Pegawai-pegawai Utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas khidmat dan sumbangan yang diberikan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 Oktober 2019 oleh Khartini Hamir)


Attachments