Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEM MOTIVASI TEKANKAN ENAM ASPEK UTAMA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Julai. - Penghayatan nilai-nilai Islam, pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, keusahawanan, kerja berpasukan dan ketahanan mental dan fizikal adalah enam aspek utama yang ditekankan pada Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019.

Kem yang diadakan di Pusat Belia, ibu negara itu disertai oleh 79 pelajar Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama sesi pengajian 2017, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Majlis Perasmian kem berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.


SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud (dua, kanan) semasa hadir pada Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019.

Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku Pengerusi majlis tersebut dalam ucapannya menjelaskan mengenai tujuan kem diadakan, iaitu memberikan pendedahan mengenai aspek teori dan amalan dari segi kepimpinan agar dapat melengkapkan pelajar untuk menjadi pemimpin serba boleh dan berwawasan, di samping membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar yang mempunyai keseimbangan dari segi perkembangan intelek, perkembangan fizikal, emosi dan rohani.

Kem motivasi tersebut adalah merupakan salah satu program kokurikulum di bawah program kokurikulum kepimpinan yang dikendalikan oleh Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama KKBS.

Adapun pengisian program ini berhubung kait dengan teori praktikal, ceramah berkaitan kepimpinan, tazkirah, aktiviti team building, aktiviti sukan dan khidmat masyarakat. Selain itu para pelajar turut dilibatkan dengan program 'Masjidku Makmur Negara Berkat'.

Kem yang dijalankan bermula 28 Julai hingga 1 Ogos 2019 itu bertemakan 'Melahirkan Pendidik Profesional dan Berkepimpinan Melalui Program Kokurikulum' dengan matlamat utama program untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran kepimpinan dengan hasrat agar para pelajar dapat mengetahui, memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep serta teori-teori kepimpinan yang berasaskan prinsip-prinsip Islam mengikut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra'es; Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB; Pegawai-pegawai Utama; Pensyarah dan kakitangan KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 31 Julai 2019 oleh Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim)

Attachments