Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TERIMA LENCANA KEAHLIAN PENGAKAP SEDUNIA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 April. - Seramai 41 Ahli Pengakap Kelana dari Pasukan Pengakap Pengambilan Kedua dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima Lencana Keahlian Pengakap Sedunia, berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB.

KUPU SB mula menubuhkan kegiatan pergerakan Pengakap sejak dari bulan Ogos 2017 sebagai salah satu kegiatan kokurikulum kolej berkenaan.

Lencana Keahlian Pengakap Sedunia yang dianugerahkan ini merupakan salah satu lencana atau ujian yang wajib diikuti oleh Ahli-ahli Pengakap baharu. Semua kehendak yang diperlukan dalam ujian ini terkandung dalam buku Dasar Pertubuhan dan Aturan (Policy, Organization and Rules - POR) Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).

Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana baharu dan Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dimulakan dengan Istiadat Bendera, iaitu Istiadat rasmi dalam Pengakap Kelana.

Istiadat Penganugerahan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia ini adalah bagi mengalu-alukan dan mengucapkan selamat juga tahniah kepada seorang individu sebagai mengakui bahawa ia adalah seorang ahli dalam Persaudaraan Pengakap Sedunia.

Hadir bagi menyempurnakan Penyampaian Skaf Pengakap ialah Pengarah Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar, diikuti dengan Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.



PARA Ahli Pengakap Kelana dari Pasukan Pengakap Pengambilan Kedua dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima Lencana Keahlian Pengakap Sedunia semasa sesi bergambar ramai bersama Pengarah Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar (tujuh, kanan).

Turut hadir, Penyelaras Kokurikulum Beruniform Pasukan Pengakap Kelana KUPU SB, Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk; pegawai-pegawai kanan dan pensyarah-pensyarah Ilmu Teras KUPU SB; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap yang juga Pesuruhjaya Program, Awang Junaidi bin Haji Hussin; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Kelana dan Bahagian Pengakap Perempuan, Dayang Hajah Nor Rahmat binti Sidin; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Dayang Hajah Noraini binti Haji Saidi; dan Jurulatih Pengakap Kelana KUPU SB, Awang Zainudin bin Haji Ishak.

Sebelum dianugerahkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia, seorang Ahli Pengakap Kelana perlu lulus dalam ujianujian kecekapan dan kemahiran secara bertulis, praktikal juga lisan seperti Persetiaan Pengakap dan Undang-Undang Pengakap; Tabik Hormat Pengakap; Peraturan Pakaian Seragam Pengakap; Sejarah Pengakap Brunei Darussalam dan Sejarah Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell juga beberapa Simpulan dan ikatan juga kemahiran-kemahiran asas yang lain.

Pergerakan Pengakap Kelana Sedunia ditubuhkan pada tahun 1918 merupakan salah satu bahagian terpenting dalam pergerakan Pertubuhan Pengakap dan mula ditubuhkan sejak 112 tahun, iaitu pada 1 Ogos 1907 di Brownsea Island, England oleh pengasas Pergerakan Pengakap Sedunia, Lord Robert Stephenson Smyth Baden-Powell atau lebih dikenali dengan nama Lord Baden Powell.

Keahlian bagi Ahli-ahli Pengakap Kelana bermula bagi pelajar-pelajar di Pusat-pusat Tingkatan Enam, institut-institut pengajian tinggi atau belia-belia berumur dari 18 hingga 26 tahun.


(Petikan dari Pelita Brunei, 4 April 2019 oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam)

Attachments