Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

DUA MAHASISWI KUPU SB SERTAI PROGRAM DI MYANMAR

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Dua orang mahasiswi Program Sarjana Perguruan Ugama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah terpilih bagi mengikuti Program Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Pelajar selama lima hari bermula esok hingga 1 Mac depan di Universiti Pendidikan Yangon, Republik Kesatuan Myanmar.

Kedua-dua mahasiswi berkenaan, Dayang Siti Nabilah binti Arifin dan Dayang Siti Nurul Suzalina Amalina binti Suip berkenaan telah berlepas ke Myanmar, hari ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

Program pertukaran tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran Rangkaian Pendidikan Guru ASEAN (AsTEN) melalui Universiti Pendidikan Yangon, Myanmar.

Antara objektif program pertukaran tersebut adalah bagi mengembangkan pengalaman pelajar-pelajar dari institusi perguruan untuk lebih memahami cabaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas sebenar di sekolah-sekolah menengah, rendah dan swasta, bandar dan juga di perkampungan.


Dua mahasiswi KUPU SB terpilih bagi mengikuti Program Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Pelajar di Universiti Pendidikan Yangon, Republik Kesatuan Myanmar.

Selain itu, ia diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membincangkan aspek-aspek berkaitan perguruan dan pendidikan bersama pelajar dari negara-negara ASEAN lainnya.

Selanjutnya, untuk memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sejarah, budaya, nilai dan tradisi negara-negara ASEAN melalui perkongsian idea, pembentangan dan perbincangan.

Program pertukaran pelajar ini merupakan kali kedua disertai oleh KUPU SB sejak penyertaannya sebagai ahli persatuan AsTEN pada 2016.

AsTEN merupakan rangkaian institusi pendidikan guru negara-negara ASEAN yang mana ahli-ahlinya komited bagi menggerakkan usaha dalam menangani isu, cabaran dan kebimbangan berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru di rantau ASEAN.

Pada masa yang sama, rangkaian berkenaan berfungsi sebagai platform bagi kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan dalam dan di seluruh institusi ahli serta diharapkan dapat memberi manfaat kepada negara dan bangsa.


(Petikan dari Media Permata, Isnin 25 Februari 2019 oleh Pg Fairol RMF)


Attachments