Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

GURU-GURU BRUNEI-LABUAN KONGSI PELBAGAI BIDANG ILMU

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Januari. - Pengetahuan, kemahiran dan nilai profesionalisme guru-guru perlu berkembang selaras dengan perubahan pusat bidang pendidikan dan gelombang globalisasi.

Penglibatan guru-guru secara formal dan tidak formal dalam aktiviti keilmuan di sepanjang kerjaya mereka akan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan amalan nilai serta ciri-ciri lain bagi meningkatkan kualiti pendidikan abad ke-21.

Sehubungan itu, pihak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengadakan program komuniti pembelajaran profesional (PLC) dengan tema 'Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Terbaik melalui Kajian Tindakan dan Inovasi' berlangsung di Dewan Serbaguna, KUPU SB, di sini.

Majlis pembukaan karnival pameran inovasi berkenaan dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan selaku Pengerusi Jawatankuasa KUPU SB program, Profesor Madya Dr. Muhamad Zahiri bin Awang Mat.

Dalam program berkenaan, sebanyak 11 ciptaan alat serta bahan inovasi pengajaran dan pembelajaran dipamerkan dan dibentangkan oleh pegawai-pegawai dan guru-guru di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dan mahasiswa-mahasiswi KUPU SB dari semua peringkat program dan jurusan.


GURU-GURU dari Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan dan mendengarkan penerangan mengenai pameran Inovasi di KUPU SB

Semasa pameran tersebut, guru-guru dari Wilayah Persekutuan Labuan berkongsi mengenai kajian tindakan dan alat atau bahan inovatif yang telah dihasilkan dan impaknya terhadap murid-murid, di samping semua alat dan bahan yang dihasilkan turut dipamerkan untuk dicuba oleh pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar dari KUPU SB.

Objektif utama program dilaksanakan adalah bagi meningkatkan tahap profesionalisme guru-guru kedua-dua institusi dan jabatan melalui perkongsian amalan pedagogi dan penghasilan alat serta bahan inovatif terbaik mereka yang dilaksanakan melalui strategi program komuniti pembelajaran profesional (PLC)- iaitu perkongsian dan perbincangan melalui pameran dan pembentangan.

Selain itu, pameran yang diadakan menyediakan peluang dalam perkongsian aktiviti ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan guru-guru di KUPU SB dan Labuan, di samping untuk membentuk pemikiran bahawa guru-guru merupakan pengurus utama mata pelajaran yang pakar dan bertanggungjawab, untuk saling membantu dan memberikan bimbingan kepada guru-guru yang lain bagi menzahirkan jati diri mereka sebagai pemimpin instruksional.

Sementara itu, hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Pameran Program Komuniti Pembelajaran Profesional berlangsung di dewan Tarbiyah, KUPU SB di sini ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Kerjasama 'Permuafakatan Strategik' antara KUPU SB yang ditandatangani oleh Pemangku Pendaftar KUPU SB, Pengiran Anak Haji Damit Baharudin bin Pengiran Anak Saifuddin dengan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diwakili oleh Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Malaysia, Datin Hajah Jijah binti Suhai.

Penandatanganan disaksikan oleh Ra'es KUPU SB dan Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Malaysia, Puan Khaziyati binti Osman.

Turut hadir, Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Penolong Ra'es KUPU SB, Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, Pengarah Program Jawatankuasa Kerja KUPU SB, Ustazah Norapizah binti Zalani, pegawai-pegawai tinggi, dekan dan pengarah, pensyarah serta mahasiswa-mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 Januari 2019 oleh Saerah Haji  Abdul Ghani)

Attachments