Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MULIAKAN BAHASA ARAB SEBAGAI BAHASA AL-QURAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Disember. - Setiap tahun, 18 Disember merupakan hari bagi Sambutan Bahasa Arab Sedunia yang telah ditetapkan oleh pihak UNESCO Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2010.

Tarikh tersebut dipilih sebagai memperingati 18 Disember 1973, iaitu sebagai pengiktirafan bahasa Arab diterima sebagai salah satu daripada enam bahasa rasmi dunia yang diguna pakai oleh PBB.

Sehubungan itu, Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini mengadakan Nadwah Bahasa Arab sempena Sambutan Bahasa Arab Sedunia 2018 yang disampaikan oleh mahasiswa-mahasiswi aliran bahasa Arab, KUPU SB berlangsung di Dewan Ta'lim, kolej berkenaan.

Para mahasiswa-mahasiswi terdiri daripada Dayang Noraimah binti Sibuang, Awang Mohd. Azrin bin Haji Asri, Dayang Nurul Jaharah binti Johari dan diketuai oleh salah seorang Pensyarah KUPU SB, Dr. Abdel Baset Slama Abdel Basel Hekal selaku moderator.


KUASA Usaha Sementara (Charge d' Affaires ad interim), Kedutaan Kesultanan Oman, Tuan Mahmood Khamis Mohamed Al-Hinai selaku wakil rasmi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam hadir selaku tetamu kehormat pada Nadwah Bahasa Arab sempena Sambutan Bahasa Arab Sedunia 2018 (atas), sementara gambar bawah, para panel terdiri daripada para mahasiswa, Dayang Noraimah binti Sibuang, Awang Mohd. Azrin bin Haji Asri, Dayang Nurul Jaharah binti Johari dan diketuai oleh salah seorang Pensyarah KUPU SB, Dr. Abdel Baset Slama Abdel Basel Hekal selaku moderator.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara (Charge d' Affaires ad interim), Kedutaan Kesultanan Oman, Tuan Mahmood Khamis Mohamed Al-Hinai selaku wakil rasmi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam.

Objektif utama sambutan majlis diadakan adalah bagi memuliakan bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran dan peribadatan serta seterusnya membarigakan tarikh 18 Disember sebagai hari rasmi Sambutan Bahasa Arab Sedunia.

Selain itu, sambutan juga mengetengahkan penglibatan warga KUPU SB, khasnya pelajar melalui Pusat Bahasa dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Arab dalam kehidupan terhadap masyarakat, sama ada melalui pendidikan formal atau bukan formal.

Juga hadir, Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili, pegawai-pegawai utama dan pensyarah-pensyarah serta pelajar KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 24 Disember 2018 oleh Saerah Haji Abdul Ghani)

Attachments