Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

UNIDA GONTOR, INDONESIA TERTARIK ALIRAN BAHASA ARAB KUPU SB

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima kunjungan seramai 28 pelajar dan dua pensyarah dari Program Pengajaran Bahasa Arab, Fakulti Pendidikan Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia.

Rombongan yang dalam rangkaian lawatan pengajian pendidikan akademik serantau, iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam itu diketuai oleh Setiausaha Fakulti Tarbiyah, UNIDA Gontor, Luthfi Muhyiddin, M.A dan Ketua Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Tarbiyah, UNIDA Gontor, Aufa Alfian Mustofa, M.A.


PENGARAH Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili (kanan) semasa memberikan taklimat kepada rombongan program pengajaran Bahasa Arab, Fakulti Pendidikan Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia, bertempat di Bilik Taqwa KUPU SB.

 

Sesi kunjungan tersebut dimulakan dengan taklimat mengenai latar belakang dan program-program KUPU SB yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Dayangku Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

Lawatan juga diisikan dengan taklimat mengenai pelaksanaan kursus Bahasa Arab, termasuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.

Seterusnya taklimat berkenaan isu-isu semasa dalam pendidikan, pengajaran dan pembelajaran di negara ini disampaikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Profesor Madya Dr. Mohd. Zahiri bin Mat.

Objektif lawatan adalah bagi mengenal lebih lanjut tentang peranan KUPU SB sebagai sebuah institusi perguruan tinggi yang memfokuskan pada latihan perguruan, khususnya dalam pendidikan Islam dan pada masa yang sama turut melahirkan pelajar-pelajar yang berkebolehan dalam pelbagai kemahiran.

Selain itu, aliran Bahasa Arab dan penawaran kursus dalam bahasa tersebut merupakan tarikan utama rombongan untuk mendapatkan maklumat mengenainya, selain memenuhi objektif lain, iaitu membuat perbandingan pelaksanaan bahasa pendidikan di tiga negara yang dilawati.


SETIAUSAHA Fakulti Tarbiyah, UNIDA Gontor, Luthfi Muhyiddin, M.A.

 

Terdahulu, Luthfi Muhyiddin ketika ditemui Pelita Brunei menjelaskan, lawatan selama tiga hari ke negara ini yang bermula pada Ahad lepas adalah untuk mengetahui pembelajaran bagi para pelajarnya, khususnya dalam pembelajaran bahasa Arab juga bagaimana teori atau pengurusan pembelajaran atau pendidikan dalam bahasa tersebut secara umumnya yang berkaitan dengan agama atau permasalahan agama Islam.

Beliau berharap lawatan itu memberi manfaat dan menjadi pengajaran bagi pelajar mereka, khususnya mahasiswi atau pelajar dari Program Arabic Teaching, Fakulti Tarbiyah, UNIDA Gontor, Indonesia.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, Awang Haji Mohd. Syahiran bin Haji Mohd. Soffian.

Oleh : Nooratini Haji Abas Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah 


Attachments