Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUKUHKAN KERJASAMA BIDANG PENDIDIKAN GURU

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Makan Malam Apresiasi bagi mengalu-alukan kehadiran rombongan Mesyuarat Tertinggi Association of Southeast Asian Teachers Education Network (AsTEN) dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada KUPU SB sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Tertinggi AsTEN.

Majlis diselajurkan dengan Majlis Penandatanganan Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara KUPU SB dengan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).

Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB adalah Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar, dan bagi pihak UPI ialah Profesor Didi Sukyadi bagi mewakili Rektor UPI, Profesor Dr. Asep Kadarrohman.


SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof (dua, kiri) semasa hadir pada Majlis Makan Malam Apresiasi

Penandatanganan perjanjian tersebut menjadi titik mula terjalinnya kerjasama yang lebih kuat di antara kedua-dua institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan dan perguruan termasuk penyelidikan, mobiliti pelajar dan kongsi sama pakar.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Majlis Makan Malam yang diadakan di dewan Tarbiyah, KUPU SB dihadiri oleh Pemangku Raes, Dr. Awang Haji Adanan; Naib-Naib Canselor; Rektor-rektor dan wakil daripada Institusiinstitusi Pengajian Tinggi Serantau.

AsTEN merupakan rangkaian Institusi Pendidikan Guru utama negara-negara ASEAN, di mana ahli-ahli akan menggerakkan usaha dalam menangani isu, cabaran dan kebimbangan berkaitan dengan program, amalan dan dasar Pendidikan Guru di rantau ASEAN.

Pada masa yang sama, rangkaian tersebut berfungsi sebagai platform bagi kerjasama dalam usaha memajukan akademik dan penyelidikan di dalam dan di seluruh institusi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada negara dan bangsa ASEAN.

Ahli-ahli AsTEN terdiri daripada IPT serantau.

Semasa Majlis Konvokesyen Kelima KUPU SB 1437H / 2015M, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB bertitah agar KUPU SB bukan sahaja mengambil manfaat terbaik dari pusat-pusat pengajian tinggi luar negara, tetapi perlu menyumbangkan pengalaman tersendiri selaku sebuah institusi perguruan Islam di rantau ini.

Sehubungan itu, KUPU SB menjadi tuan rumah pada mesyuarat tertinggi Association of Southeast AsTEN yang dilihat sebagai peluang besar bagi KUPU SB untuk memainkan peranannya sebagai sebuah pusat ilmu perguruan dan pendidikan Islam dalam menjalinkan kerjasama bersama institusiinstitusi pengajian tinggi perguruan serantau, termasuk National Institute of Education Singapura, Universiti Perguruan Sultan Idris, Malaysia dan Universitas Pendidikan Indonesia.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 6 Oktober 2018 oleh Rohani Haji Abdul Hamid)

Attachments