Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB SELENGGARA SESI BICARA PENDIDIKAN SERANTAU

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Oktober. - Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-28 yang diraikan pada 23 September lalu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sebagai sebuah Institusi Tinggi Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam menyelenggarakan Sesi Bicara Pendidikan Serantau yang membawakan pakar-pakar di institusi pengajian tinggi dari negara-negara serantau bagi perbincangan mengenai isu-isu berkaitan dengan perkembangan pendidikan, perguruan dan teknologi dalam konteks negara dan institusi masing-masing.

Sesi Bicara diadakan di Dewan Terbiyah, kolej berkenaan dengan tema, 'Pendidikan Perguruan Abad 21 dan Teknologi 4.0'.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.



MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hadir selaku tetamu kehormat pada Sesi Bicara Pendidikan Serantau sempena Sambutan Hari Guru Ke-28 di KUPU SB.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar, beliau antara lain menyatakan, Sesi Bicara Pendidikan Serantau yang diadakan itu secara ringkas mengkaji, menilai, mengkritik, membincangkan dan mencadangkan tindakan yang perlu diambil dalam sistem pendidikan dan peranan pendidikan guru dalam membangunkan pendidikan komuniti.

Dalam konteks perubahan pesat era teknologi katanya, sejak tahun 2016, KUPU SB menggubal dan melaksanakan dasar matlamat penubuhan universiti, kesesuaian dengan kepentingan dan cadangan oleh Canselor KUPU SB, Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

''Pelaksanaan menumpukan keberkesanan akademik dan pembentukan watak, dalam usaha untuk membangunkan potensi kepimpinan pelajar. Bagi mencapai keberkesanan program, KUPU SB membangunkan kecekapan, iaitu Berilmu, untuk amalan dan bertamadun; Menguasai mata pelajaran; Menguasai pedagogi; Profesionalisme; Hubungan Komuniti; Kepimpinan Melayu Islam Beraja; Intelektual dan Pelbagai kemahiran.

 ''Apa yang diharapkan adalah berlakunya perbincangan yang positif dan membina dalam kalangan intelek dan ahli akademik dalam dewan yang mulia ini juga percambahan idea dalam kalangan pengamal pendidikan serta cetusan minda dalam kalangan anak-anak kita, para pelajar,'' ujarnya.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pengiran Haji Mahmud bin Haji Othman dan diikuti dengan bacaan Asmaul Husna serta nyanyian lagu kebangsaan.


ANTARA yang hadir pada Sesi Bicara Pendidikan Serantau

Turut menyerikan acara, bacaan surah-surah daripada mahasiswamahasiswa Tahun 3 KUPU SB dan secara beramai-ramai.

Sesi Bicara tersebut merupakan salah satu usaha KUPU SB pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor KUPU SB semasa Majlis Konvokesyen Kedua KUPU SB 1435H / 2013M agar kolej memainkan peranan sebagai sebuah institusi perguruan ugama tunggal di Negara Brunei Darussalam, iaitu sebagai 'penyedia acuan' yang betul dan efektif bagi mengembangkan aspek perguruan dan pendidikan Islam secara khususnya bagi melahirkan tokoh-tokoh yang bukan sahaja berilmu tetapi menjadi 'pendidik yang sebenar-benarnya terdidik'.

Justeru itu, melalui Sesi Bicara yang diungkayahkan adalah diharap dapat memberi pendedahan dan mengembangkan lagi pengetahuan dan kefahaman semua yang berkaitan mengenai perkembangan pendidikan perguruan dalam arena serantau.

Tujuan Sesi Bicara ini diadakan adalah untuk menjadi satu platform yang menyediakan institusi-institusi tinggi perguruan serantau peluang kerjasama untuk meningkatkan sistem, pentadbiran dan pengurusan pendidikan perguruan seterusnya mencapai visi, misi dan matlamat yang dibentuk oleh setiap institusi, di samping berkongsi maklumat mengenai usahausaha pengembangan program pendidikan dan perguruan dalam kalangan institusi perguruan serantau.

Ia juga diadakan adalah bagi membincangkan cabaran dan isu-isu berkaitan pendidikan, perguruan dan perkembangan arus teknologi dalam konteks institusi pendidikan dan perguruan serantau juga menjana cadangan-cadangan yang relevan ke arah meningkatkan lagi kualiti sistem pendidikan, perguruan dan pengajaran bagi melahirkan guru-guru yang berilmu, berakhlak, berdaya saing, berfikiran kritis dan inovatif dalam memenuhi keperluan abad.

Para penceramah terdiri daripada Naib Canselor, Universiti Perguruan Sultan Idris, Malaysia, Profesor Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Rektor, Universitas Pendidikan Indonesia, Profesor Didi Sukyadi; Officer-in Charge, Office of the President, Philippine Normal University, Philippines, Dr. Maria Antoinette C. Montealegre dan Dekan Fakulti Pendidikan, Kasetsart University, Thailand, Associate Professor Dr. Pattamavaddi Lehmongkol.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris, Malaysia, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 6 Oktober 2018 oleh Dk Siti Redzaimi Pg Hj Ahmad)

Attachments