Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SEMINAR KEFAHAMAN AKIDAH 25 – 26 APRIL

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dan Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) buat julung kalinya akan mengadakan Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa 2018 (SEKAPES 2018) pada 25 dan 26 April depan.  

Seminar dua hari yang akan berlangsung di Dewan Tarbiyah KUPU SB itu antara lain bertujuan untuk memperkasa kefahaman akidah dalam kalangan umat Islam masa kini selain menangani fahaman dan pemikiran semasa yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah. 


Profesor Madya Dr.Syamsul Bahri Andi Galigo berucap semasa sidang media berkenaan.

Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman  Ahli Sunnah Waljamaah KUPUSB, Profesor Madya Dr. Syamsul Bahri Andi Galigo mengumumkan perkara berkenaan selaku pengerusi bersama seminar pada sidang media di KUPU SB, hari ini.  

Beliau seterusnya menjelaskan, seminar bertema 'Akidah Ahli Sunnah Waljamaah Asas Kesejahteraan Negara' itu akan mengetengahkan pembentangan 11 kertas kerja yang mana enam daripadanya adalah Kertas utama manakala lima adalah kertas kerja jemputan.  

Seminar berkenaan juga diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman umat Islam khususnya mengenai kepentingan akidah Ahli Sunnah Waljamaah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.  

Beliau menambah, seminar itu dibahagikan kepada dua kategori kertas kerja utama yang kebanyakannya menyentuh mengenai amalan dan praktikal Ahli Sunnah Waljamah di Brunei dan cabaran terkini yang berkaitan dengan pemikiran semasa yang sangat popular masa kini.

Seminar itu dijangka dihadiri lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, penyelidik, pegawai dan kakitangan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar pasca dan pra-siswazah serta orang perseorangan.  

Sehubungan itu, orang ramai yangberhasrat untuk menyertai seminar berkenaan boleh menghubungi setiausaha bersama seminar di talian 8628213 atau e-mel ke sekapes@hotmail.com tidak lewat 21 April 2018.  

Turut hadir pada sidang media itu, Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Haji Mohd Azmi bin Haji Omar selaku Pengerusi Bersama seminar.


(Petikan dari Pelita Brunei, 19 April 2018 oleh Salawati Haji Yahya)

Attachments