Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENTINGNYA GAYA HIDUP SIHAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 April. - Simposium Kebangsaan Pendidikan Sains Kesihatan 2018 : Bergerak Sihat Bersama Islam sempena Hari Kesihatan Sedunia 2018 diadakan di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikannya, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Haji Othman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan Asma' al-Husna serta Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'.

Pada majlis itu, Pengarah Simposium Kebangsaan Pendidikan Sains Kesihatan 2018 : Bergerak Sihat Bersama Islam selaku Pengerusi Majlis, Profesor Dr. Muhammad Zahiri bin Awang Mat dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan, simposium tersebut adalah berkonsepkan kesepaduan di antara sains dan Islam secara teori serta amali.

Selain ceramah daripada pakar sains kesihatan katanya, pemeriksaan kesihatan juga disediakan, yang mana Kaedah perawatan dan kesihatan secara Islam juga akan didedahkan kepada peserta.


KETUA Jabatan daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Rosediani binti Muhammad (kiri) semasa pembentangan utama pada Simposium Kebangsaan Pendidikan Sains Kesihatan 2018 : Bergerak Sihat Bersama Islam sempena Hari Kesihatan Sedunia 2018 di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

Simposium yang diadakan selama sehari itu disertai oleh lebih 300 orang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan serta pelajar universiti, guru-guru ugama, pegawai-pegawai masjid, pegawai-pegawai perkhidmatan kesihatan juga mahasiswa dan mahasiswi dari institut-institut pengajian tinggi di negara ini.

Pembentangan utama simposium dibentangkan oleh Ketua Jabatan dari Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Rosediani binti Muhammad dengan tajuknya, 'Pendidikan Kesihatan Keluarga Menurut Perspektif Islam'.

Objektif simposium adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat, selain memberikan kefahaman masyarakat bahawa Islam mementingkan kesihatan individu serta persekitaran.

Ia juga dapat memberi kefahaman tentang pemakanan sihat mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Juga diadakan pameran kesihatan yang memaparkan beberapa agensi kesihatan yang terlibat seperti Pusat Promosi Kesihatan, Jerudong Park Medical Center, Pusat Rawatan Islam Darul Shifa' dan Pusat Rawatan Islam Darul Salam yang disekaliguskan dengan Pameran Israk Mikraj.

Pameran juga dibukakan untuk orang ramai mulai 11 hingga 12 April, bermula 8.00 pagi hingga 4.30 petang, bertempat di Dewan Serbaguna, KUPU SB.

Attachments