Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

JAGA KESIHATAN SECARA HOLISTIK

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 April. - Menjaga diri dan agama serta memelihara diri daripada sebarang perkara yang boleh membahayakan dan memudaratkan adalah amat penting.

Maka kesihatan diri perlu dititikberatkan secara holistik, di mana penjagaan merangkumi pelbagai aspek, sama ada kesihatan diri, masyarakat dan alam sekitar kerana menjaga diri serta agama tidak akan tercapai sekiranya kesihatan terganggu.


SETIAUSAHA Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Haji Othman selaku tetamu kehormat semasa berucap pada Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Pendidikan Sains Kesihatan 2018 : Bergerak Sihat Bersama Islam sempena Hari Kesihatan Sedunia 2018

Demikian yang digariskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Abdul Manap bin Haji Othman selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Pendidikan Sains Kesihatan 2018 : Bergerak Sihat Bersama Islam sempena Hari Kesihatan Sedunia 2018 diadakan di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

''Apa yang menarik perhatian saya adalah inisiatif proaktif pihak KUPU SB yang peka bahawa kesihatan itu perlulah ditinjau dari pelbagai perspektif dan dalam hal ini KUPU SB telah menjadikan pendidikan kesihatan perlu ditinjau dari perspektif Islam. Ini merupakan satu tindakan yang bijak dalam membangun warga Brunei berteraskan agama,'' tegasnya.

Kesihatan menurutnya ialah salah satu nikmat Allah Subhanahu Wata'ala yang terbesar buat semua, tetapi manusia hanya akan ingat kesihatan apabila sudah ditimpa sakit.

Katanya, tanpa kesihatan kita tidak mampu menjalankan tugas serta kewajipan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini dan tugas kita adalah menjaga kesihatan diri dari aspek jasmani juga rohani.

''Al-Quran al-Karim merupakan sumber hukum dan kehidupan umat Islam. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan, aspek kesihatan untuk diamalkan oleh manusia dalam kehidupan seharian yang disebut sebagai ayat-ayat syifa, iaitu penyembuh dari penyakit,'' ujarnya.

Bagi pihak Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam, beliau menjelaskan bahawa pihak kementerian telah mengambil langkah yang proaktif dalam memberi kesedaran pentingnya penjagaan kesihatan begitu juga langkah-langkah pencegahan.

Menurutnya, objektif utama Kementerian Kesihatan adalah menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan dan pihak berkepentingan. Kementerian Kesihatan berusaha untuk menjadikan sistem kesihatan negara sebagai satu sistem yang memberikan perkhidmatan kesihatan secara komprehensif, bersepadu lagi kos efektif.

Simposium yang bertemakan 'Bergerak Sihat Bersama Islam' jelasnya adalah amat tepat sekali diadakan memandangkan dunia hari ini bergerak begitu pantas dalam bidang penyelidikan dan pendidikan kesihatan.

''Dunia penyelidikan yang canggih menjadikan pelbagai inovasi baharu dalam dunia perubatan dan kesihatan, namun sehebat mana ubat atau penemuan yang ditemui di dunia moden ini, janganlah kita lupa kepada nasihat dan formula yang telah diajarkan oleh Islam menerusi ajaran Al-Quran dan tafsiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga penemuan-penemuan tokoh perubatan Islam lampau yang relevan dengan perubahan semasa dunia,'' tambahnya lagi.

 Sempena simposium itu, beliau menyeru semua pihak untuk mempertingkatkan usaha mendidik serta menyedarkan diri dan masyarakat akan kepentingan menjaga kesihatan secara holistik.


(Petikan dari Pelita Brunei, Khamis 12 April 2018 oleh Dk Siti Redzaimi)

Attachments