Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS KESYUKURAN MINGGU TA'ARUF RAI PELAJAR BAHARU KUPU SB

​​BERAKAS, Khamis, 28 Julai. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Majlis Kesyukuran Minggu Ta'aruf Ke -16 bagi seramai 105 Pelajar Baharu KUPU SB Pengambilan Sesi 2022 / 2023, di Perkampungan Sukan, Berakas. Hadir selaku tetamu khas, Pemangku Pendaftar, KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diketuai oleh Mahasiswa Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Tahun 1, Mohammad Hanafi @ Abdul Aziz bin Sufardee, diikuti dengan bacaan Asma al-Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan'. 

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah Al-'Alaq oleh Mahasiswa Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Tahun 1, Awang Muhammad Khairul Aiman Akmal @ Yussof Almahdi bin Haji Rusli. 

Majlis diteruskan dengan Tayangan Video Minggu Ta'aruf Sesi Ke-16 dan bacaan ikrar Pelajar Pengambilan Sesi Ke-16 Sesi 2022 / 2023, diketuai oleh Mahasiswa Program Diploma Pengajian Seni Al-Quran, Awang Ahmad Raziqin bin Rosli. 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Mahasiswa Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Tahun 1, Muhammad Nur Syafiie Sariyan bin Haji Sophian.

kesyukuran_taaruf1.pngANTARA yang hadir dan diraikan pada Majlis Kesyukuran Minggu Ta'aruf Ke-16 bagi seramai 105 Pelajar Baharu KUPU SB Pengambilan Sesi 2022 / 2023 (atas dan bawah).

kesyukuran_taaruf2.png

Minggu Ta'aruf ini merupakan aktiviti tahunan yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, khusus untuk pelajar-pelajar baharu kolej universiti berkenaan. 

Minggu Ta'aruf yang dijalankan selama enam hari, iaitu bermula pada 23 hingga 28 Julai 2022 itu merupakan satu usaha untuk memperkenalkan KUPU SB sebagai sebuah Institusi Perguruan Tinggi di Negara Brunei Darussalam, yang berfungsi bagi memartabatkan pengajian Perguruan Ugama bagi melahirkan pendidik melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan, teknologi dan jati diri berasaskan prinsip-prinsip Islam serta Falsafah Pendidikan Negara. 

Program tersebut bertujuan bagi memberi pendedahan tentang kepentingan memahami Falsafah, Visi dan Misi KUPU SB. Selain itu, ia diharap boleh memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya hidup di KUPU SB dalam konteks kemahiran mengurus masa, budaya menuntut ilmu, rutin harian dan peraturan yang ditetapkan, di kolej universiti tersebut. 

Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Dayang Amshahnoorwadi bin Haji Yakub berkata, program berkenaan, antara lain diisi dengan taklimat-taklimat yang penting untuk para pelajar, seperti mengenai biasiswa kerajaan serta akademik bagi penawaran kursus di setiap semestar. "Juga diadakan ialah tazkirah yang disampaikan oleh penceramah - penceramah jemputan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan fizikal serta mental bagi mereka sebagai pelajar KUPU SB," katanya kepada Pelita Brunei. 

Turut hadir ke majlis tersebut, Pegawai - pegawai Utama, Pensyarah-pensyarah dan Majlis Persatuan Pelajar KUPU SB


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 30 Julai 2022. Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin​)

Attachments