Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MUAFIQ 22 MELABUHKAN TIRAI

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Jun. - Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22) anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup yang berlangsung di KUPU SB, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat khas majlis, Setiasusaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Johari.

Majlis tersebut diteruskan dengan pembentangan Kertas Utama III oleh Profesor Madya Dr. Haji Abdurrahman Raden Aji Haqqi dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang menyentuh pengertian kebahagiaan yang jelasnya akan didapatkan dengan diri serta zuriat yang ada keimanan.

Peranan dan tanggungjawab itu katanya, dimainkan oleh setiap anggota keluarga sama ada pemimpin atau yang dipimpin termasuk suami, isteri dan anak-anak. Perlunya sesebuah keluarga itu menjalankan tanggungjawab dengan melakukan perintah Allah dengan cara memelihara diri dan ahli keluarga.

Profesor Madya juga menjelaskan bahawa bagi merealisasikan keluarga yang bahagia lagi sempurna adalah dengan pendidikan agama sebagaimana yang diterapkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.

Tambahnya, terdapat banyak cabaran dalam institusi keluarga yang mempengaruhi penghasilan modal insan dalam masyarakat dan cabaran itu dapat dilihat dari aspek teknologi, agama, keduniaan, tujuan perkahwinan, keibubapaan dan sosial.

Hal tersebut menurutnya, dapat diatasi dengan merujuk kepada Al-Quran yang ada menyentuh berkenaan kekeluargaan, iaitu mengenai perkahwinan, tanggungjawab dan hak suami isteri serta hak anak dan ibu bapa. Profesor Madya seterusnya menekankan bahawa agama adalah merupakan asas kepada keluarga bahagia.

Setelah itu, Kuliah Khas Fiqh Al-Usrah yang disampaikan oleh Ustaz Adi Hidayat dari Quantum Akhyar Center, Indonesia yang bertajuk 'Membentuk Kebahagiaan dan Kesempurnaan Hidup Berkeluarga' pula membincangkan mengenai manusia sebagai khalifah di dunia yang misinya antaranya adalah perkahwinan dan berkeluarga.

muafiq3.png

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada Majlis Penutup Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22) anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah.

Dari situ jelasnya bermula kehidupan berkeluarga yang merupakan asas kepada kejayaan kehidupan sosial, iaitu dari konsep berkeluarga kepada konsep bermasyarakat dan konsep bernegara.

Beliau juga menerangkan pembentukan keluarga haruslah berpandukan hudan (Al-Quran) yang juga sebagai pedoman kehidupan untuk diikuti dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Tambahnya, kehidupan berkeluarga adalah tanda dalam menyempurnakan ibadah malahan akan mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah dan menambah ketakwaan. Dengan meningkatnya ketakwaan, dekatnya diri kepada Allah dan hidup berkeluarga yang berpandukan kepada Al-Quran akan memberikan kehidupan berkeluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah lagi sempurna.

Resolusi pembentangan selanjutnya disampaikan oleh Professor Madya Dr. Yusuf Khalid, Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus dan Pelapor. Setelah itu, resolusi kemudian diserahkan kepada Ra'es dan Pemangku Pendaftar, KUPU SB yang kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Tetap, KHEU dan Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kemasyarakatan), KKBS.

Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-pegawai Utama KUPU SB, jemputan khas serta para Pensyarah dan Kakitangan KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Jun 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

Attachments